MARAN 24 Nov. – Kerajaan negeri membelanjakan RM72 juta bagi meningkatkan prasarana dan kemudahan pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini. Pengarah Pelancongan negeri, Idros Yahya berkata, peruntukan itu turut membabitkan aspek promosi dan publisiti di samping menyediakan kemudahan yang lebih baik seperti bekalan air bersih dan tandas. Menurutnya, penyediaan kemudahan itu berjaya membantu meningkatkan jumlah kehadiran pelancong seramai sembilan juta orang ke negeri ini tahun lalu. “Sasaran kita pada tahun ini ialah seramai 10 juta pelancong berikutan usaha keras kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan mengadakan promosi intensif di luar negara.
“Kita sentiasa meningkatkan usaha menarik pelancong dan kemudahan infrastruktur supaya Pahang menjadi destinasi wajib mereka dikunjungi,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Idros berkata, pihaknya sangat mengambil berat aspek kebersihan di kawasan tumpuan pelancong bagi mengelakkan berulangnya kejadian di Hutan Rekreasi Lubuk Yu, Maran yang terpaksa ditutup tiga bulan selepas dilanda wabak kencing tikus. Beliau berkata, kejadian tersebut banyak mengajar pihaknya dan pengunjung supaya mengutamakan kebersihan. Beliau tidak menafikan ada pengunjung mengabaikan aspek kebersihan menyebabkan kawasan hutan lipur menjadi sarang tikus membiak yang membawa pelbagai penyakit berbahaya. “Sehubungan itu, kita memantau 25 hutan lipur supaya aspek kebersihan dan keselamatan yang disediakan dapat dimanfaat dengan baik,” katanya.
Katanya, Pahang sangat bertuah kerana mempunyai banyak kawasan menarik seperti air terjun, tanah tinggi dan pulau untuk dikunjungi dan ia harus dieksploitasi dengan baik bagi melonjakkan ekonomi negeri. Oleh itu, tegasnya, adalah menjadi tanggungjawab penduduk negeri ini bersama-sama menjaga kebersihan, memulihara dan memelihara flora serta fauna bagi mengekalkan keaslian kawasan itu. “Kita sangat komited meningkatkan kemudahan dan nilai tambah di destinasi pelancongan sedia ada seperti di Genting Highlands dan Bukit Fraser berikutan pelancong gemarkan kawasan bersih dan segar,‘‘ katanya. Pada tahun lalu, kata Idros, Genting Highlands dikunjungi lebih lima juta pelancong, sekali gus menjadi aset utama bagi perkembangan industri pelancongan negeri.
-Utusan Online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.