Timbalan Ketua
Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot (berdiri kanan) melihat
kesungguhan pelancong dari China sedang mencuba proses mencanting batik ketika
meraikan mereka di Homestay D'Pelandok Best, di Kampung Teluk, Port Dickson. -
Foto NSTP/Mohd Khidir Zakaria
PORT DICKSON: Port Dickson terus menjadi pilihan pelancong dari
negara China apabila seramai 500 orang datang dan diraikan meriah Kementerian
Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Sembilan di Homestay D'Pelandok di
sini tadi.
Timbalan Ketua
Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, mereka di sambut meriah
dengan minuman air kelapa 'Janda Pulang' sebaik turun dari bas persiaran.
Kita nampak, ramai pelancong dari negara itu amat berminat dengan
kunjungan ke negara kita dan kita raikannya dengan membawa mereka ke beberapa
destinasi menarik khususnya di Port Dickson.
"Selain itu, mereka juga dihidangkan dengan tarian
kebudayaan Melayu serta mencuba aktiviti mencanting batik dan kita nampak
kesungguhan mereka mencuba melukis batik yang disediakan di sini," katanya
ketika ditemui di sini tadi. Turut hadir, Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fatah Abdullah.
Katanya, selaras dengan perkembangan dan trend industri
pelancongan global, kerajaan juga memperluaskan konsep program Pengalaman
Homestay Malaysia kepada konsep Kampungstay.
"Ia satu
pengalaman apabila mereka turut diadakan program kebudayaan, mencanting batik,
tarian kebudayaan, memasak makanan tradisional dan pelbagai lagi aktiviti
bersama penduduk tempatan.
"Rumah
yang disediakan juga bercirikan tradisional lengkap dengan kemudahan asas
tetapi tidak tinggal bersama tuan rumah tetapi mereka masih boleh berinteraksi
serta mengikuti aktiviti masyarakat kampung dan kebudayaan tempatan,"
ujarnya.
Shaharuddin
berkata, kepujian harus diberikan pihak Homestay D'Pelandok yang berjaya
menguruskan dan mengadakan pelbagai aktiviti menarik yang mereka sediakan.
Bagi pelancong
dari Beijing, China, Huang Xan Oun, 35, dia tertarik dengan air minuman yang
disediakan yang diberi nama 'Janda Pulang'.
"Pada
mulanya saya bimbang kerana ingatkan ia adalah minuman yang memabukkan tetapi
selepas diberitahu rakan ia diproses dari air buah kelapa yang rasanya amat
enak sekali.
"Ini
adalah kali pertama saya datang ke Malaysia atas ajakan rakan yang mengatakan
makanan dan minuman di sini amat sedap tetapi agak pedas. Terima kasih atas
layanan penduduk yang sangat peramah," katanya yang juga adalah seorang
guru sekolah rendah.
Menurut Huang,
dia dan rombongannya akan berada di Malaysia selama seminggu sebelum kembali ke
negaranya.
"Sebelum
ini saya kurang tahu berkenaan negara Malaysia, ternyata ia negara yang menarik
dengan pelbagai kaum serta budaya namun hidup dalam harmoni.
"Apa yang
menarik, penduduk Malaysia sangat baik, peramah dan sedia membantu, mungkin
kerana sudah biasa hidup dengan masyarakat yang pelbagai kaum, sungguh ramai
antara kami kagum dengan sambutan dan kebaikan orang Malaysia," katanya.
-berita harian online.