Timbalan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot (berdiri kanan) melihat kesungguhan pelancong dari China sedang mencuba proses mencanting batik ketika meraikan mereka di Homestay D'Pelandok Best, di Kampung Teluk, Port Dickson. - Foto NSTP/Mohd Khidir Zakaria
PORT DICKSON: Port Dickson terus menjadi pilihan pelancong dari negara China apabila seramai 500 orang datang dan diraikan meriah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Sembilan di Homestay D'Pelandok di sini tadi.
Timbalan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, mereka di sambut meriah dengan minuman air kelapa 'Janda Pulang' sebaik turun dari bas persiaran.
Kita nampak, ramai pelancong dari negara itu amat berminat dengan kunjungan ke negara kita dan kita raikannya dengan membawa mereka ke beberapa destinasi menarik khususnya di Port Dickson.
"Selain itu, mereka juga dihidangkan dengan tarian kebudayaan Melayu serta mencuba aktiviti mencanting batik dan kita nampak kesungguhan mereka mencuba melukis batik yang disediakan di sini," katanya ketika ditemui di sini tadi. Turut hadir, Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fatah Abdullah.
Katanya, selaras dengan perkembangan dan trend industri pelancongan global, kerajaan juga memperluaskan konsep program Pengalaman Homestay Malaysia kepada konsep Kampungstay.
"Ia satu pengalaman apabila mereka turut diadakan program kebudayaan, mencanting batik, tarian kebudayaan, memasak makanan tradisional dan pelbagai lagi aktiviti bersama penduduk tempatan.
"Rumah yang disediakan juga bercirikan tradisional lengkap dengan kemudahan asas tetapi tidak tinggal bersama tuan rumah tetapi mereka masih boleh berinteraksi serta mengikuti aktiviti masyarakat kampung dan kebudayaan tempatan," ujarnya.
Shaharuddin berkata, kepujian harus diberikan pihak Homestay D'Pelandok yang berjaya menguruskan dan mengadakan pelbagai aktiviti menarik yang mereka sediakan.
Bagi pelancong dari Beijing, China, Huang Xan Oun, 35, dia tertarik dengan air minuman yang disediakan yang diberi nama 'Janda Pulang'.
"Pada mulanya saya bimbang kerana ingatkan ia adalah minuman yang memabukkan tetapi selepas diberitahu rakan ia diproses dari air buah kelapa yang rasanya amat enak sekali.
"Ini adalah kali pertama saya datang ke Malaysia atas ajakan rakan yang mengatakan makanan dan minuman di sini amat sedap tetapi agak pedas. Terima kasih atas layanan penduduk yang sangat peramah," katanya yang juga adalah seorang guru sekolah rendah.
Menurut Huang, dia dan rombongannya akan berada di Malaysia selama seminggu sebelum kembali ke negaranya.
"Sebelum ini saya kurang tahu berkenaan negara Malaysia, ternyata ia negara yang menarik dengan pelbagai kaum serta budaya namun hidup dalam harmoni.
"Apa yang menarik, penduduk Malaysia sangat baik, peramah dan sedia membantu, mungkin kerana sudah biasa hidup dengan masyarakat yang pelbagai kaum, sungguh ramai antara kami kagum dengan sambutan dan kebaikan orang Malaysia," katanya.
-berita harian online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.