Monday, 2 December 2024

PENYAYANG anjur Batik Fun Walk promosi batik, bantu pesakit kanser

 

Pengerusi PENYAYANG, Nori Abdullah (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Leela Mohd Ali menyampaikan papan penghargaan penajaan kepada wakil The Orange Tree Consultancy, Geoff Kronenburg.

KUALA LUMPUR: Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) akan menganjurkan program Batik Fun Walk pada pertengahan bulan hadapan, acara riadah untuk mempromosi batik sebagai seni warisan negara dan penggunaannya sebagai pakaian harian serta santai.

Acara kali ke-19 bertempat di Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini pada 15 Disember itu dianjurkan PENYAYANG dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang sesuai disertai semua lapisan masyarakat bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

Dalam satu kenyataan hari ini, PENYAYANG memaklumkan, majlis perasmian dan pelepasan peserta acara itu yang dijadual bermula dengan sesi pendaftaran pada jam 6.30 pagi, dijadual disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

"Acara akan bermula dan tamat di Lanai MaTiC, dengan perjalanan melalui Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P Ramlee, Persiaran Petronas dan seterusnya memasuki Jalan Ampang dan akan kembali ke Lanai. Jarak perjalanan 2.5 kilometer," menurut kenyataan itu.

Yuran penyertaan RM45 dikenakan bagi peserta dewasa yang akan turut menerima kain batik, RM20 tanpa kain batik bagi kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun, manakala percuma tanpa batik dan pingat untuk kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun yang ditemani penjaga.

"Pendaftaran juga boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan http://bit.ly/Batikfunwalk2024 atau melalui https://www.ticket2u.com.my/event/37797/batik-fun-walk-2024," menurut PENYAYANG.


Hadiah turut disediakan untuk kategori peserta paling muda, peserta paling tua, penyertaan berkumpulan paling ramai, individu berpakaian batik paling kreatif dan keluarga berpakaian batik paling kreatif, selain hadiah utama dan cabutan bertuah.


"Kutipan daripada yuran penyertaan akan disumbangkan kepada Penyayang Pesakit Kanser (PPK), kumpulan sokongan yang memberikan khidmat dan bantuan kepada pesakit kanser melalui pusat Positive Image di Hospital Putrajaya, Institut Kanser Negara dan di Seri Kembangan.


"PPK turut bertanggungjawab dalam program kesukarelawan dan sokongan untuk pesakit kanser serta keluarga mereka," katanya menambah peserta acara itu yang dijayakan dengan kerjasama rakan strategik, MaTiC dan MCM CoMetro 5 Pillars Venture, yang menamatkan perjalanan layak menerima pingat Batik Fun Walk 2024.


Antara aktiviti lain akan diadakan pada acara turut mendapat sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta barisan penaja, termasuk The Orange Tree Consultancy itu adalah kuiz, cabaran kecergasan, putar dan menang, persembahan dan nyanyian, aksi badut serta cabutan bertuah.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.