KANGAR: Perlis merekodkan peningkatan hasil pelancongan sebanyak RM1,038,168 serta kehadiran seramai 523,171 orang pelancong ke negeri berkenaan sejak Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dilancarkan awal tahun ini.
Peningkatan berkenaan direkodkan sehingga Oktober lalu adalah hasil terus kepada komuniti atau ke jabatan negeri melalui jualan tiket produk atau di lokasi pelancongan di bawah seliaan jabatan negeri itu.
Exco Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, peningkaan berkenaan dicatatkan di pelbagai lokasi eko pelancongan yang sering menjadi tarikan terutamanya di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.
"Antaranya adalah Kompleks Eko Pelancongan Sungai Batu Pahat, Kompleks Eko Pelancongan Gua Kelam, Taman Negeri Perlis, Viewpoint Wang Kelian dan Taman Eko Rimba Bukit Kubu.
"Bagi kawasan pendakian pula adalah seperti di Pintu Wang Gunung, Bukit Jernih, Bukit Wang Mu, Gunung Perlis dan Bukit Pelarit manakala bagi tempat pelancongan yang berada di bawah kelolaan Jabatan Pertanian Negeri Perlis pula, jumlah kutipan hasil di Taman Buah-Buahan Eksotik adalah sebanyak RM48,077.
"Selain itu, lokasi pelancongan yang turut menjadi tumpuan orang ramai di negeri ini adalah Taman Agrovet yang diselia oleh Jabatan Veterinar Negeri Perlis dimana sehingga bulan lalu sahaja, ia mencatatkan kedatangan pelancong seramai 58,658 orang dan jumlah kutipan hasil sehingga Oktober lalu pula adalah sebanyak RM105,920 yang mana bayaran tiket masuk ke tempat berkenaan sudah dilaksanakan sejak Disember tahun lalu dengan bayaran sebanyak RM1 ke RM2 mengikut ketetapan usia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Saad Seman (Perikatan Nasional (PN)/PAS-Chuping) semasa Mesyuarat Keempat, Penggal Persidangan Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN, di sini hari ini.
Saad sebelum itu mengemukakan soalan berhubung prestasi kerajaan negeri dan jumlah hasil yang di perolehi oleh Kerajaan Negeri Perlis sehingga terkini bagi tahun ini serta jumlah pelawat dan pelancong dalam dan luar negara yang direkodkan serta lokasi tempat yang popular di lawati oleh pelawat dan pelancong di negeri itu.
-berita harian online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.