KUALA LUMPUR: Lebih 130 pemain berentap pada pusingan grand final golf Malaysia Flying Golfers Association (MFGA) di Kelab Golf Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Pada saingan kali ini, seramai tujuh pemain luar negara iaitu dari Lubnan, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Singapura turut memperagakan kehebatan.
Pemain berbakat, Nasaruddin Abdul Basir muncul juara Order Of Merit selepas berjaya mengumpulkan 1,850 mata manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing milik Ramlan Mohd Nor (1,580 mata) dan Sivalingam SP (1,570 mata).
Bagi kategori Medal A pula, Abd Rashid Md Zain muncul juara dengan pungutan 41 mata manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Norazman Sabri (40 mata) dan Ruszamuddin (38 mata).
Pemain handikap 16, Salzeli Zamri pula berjaya mengumpul 49 mata untuk merangkul gelaran juara kategori B manakala naib juara milik Toh Puan Fatimah Rosli (36 mata) dan ketiga dimenangi Datuk Arshad Abdul Jalil (35 mata).
Gelaran juara kategori C pula menjadi milik Hussin Ahmad dengan himpunan 43 mata manakala Datuk Mohd Fauzi Aziz (42 mata) di tempat kedua dan Ismet Omar (41 mata), ketiga.
Bagi kategori jemputan, di tempat pertama dimenangi Norazizul Hashim dengan 39 mata, manakala Mohamed Khalid dengan 38 mata (kedua) dan tempat ketiga milik Zikry Zain (37 mata).
Presiden MFGA, Zulkifli Mohd Razali berkata penganjuran saingan golf pada kali ini berjaya mengeratkan persahabatan antara pemain negara ini dan luar negari selain membantu mempromosi pelancongan menerusi sukan golf.
"MFGA yang ditubuhkan sejak 41 tahun lalu sehingga kini terus melebarkan jalinan persahabatan dengan pemain-pemain negara luar melalui platform golf.
"Sepanjang kejohanan tahun ini, MFGA berjaya membawa sektor pelancongan negara ke persada dunia. Ini terbukti dengan penyertaan pemain-pemain dari luar negara," katanya dalam satu kenyataan.
Zulkifli berharap dapat menganjurkan kejohanan lebih besar pada masa depan dengan penyertaan lebih ramai kalangan pemain luar negara disamping mempromosikan sukan golf Malaysia di peringkat antarabangsa.
-berita harian online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.