Sunday, 21 September 2025

Patuhi garis panduan tapak RV demi keselamatan dan kepentingan awam

 

Aiman Athirah (tengah) merasmikan tapak kenderaan rekreasi (RV) di Pantai Bahan Lalang Sepang sempena Pesta Pantai Bahan Lalang 2025. - Foto Samadi Ahmad

SEPANG: Garis panduan tapak kenderaan rekreasi (RV) perlu dijadikan rujukan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pembangunan tapak berkenaan selamat dan teratur selain menjaga kepentingan orang awam. 

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, peminat dan pengguna RV disaran mengutamakan pengurusan berhemah serta kelestarian alam sekitar supaya tidak timbul sebarang gangguan kepada masyarakat setempat. 

Katanya, aktiviti RV bukan sahaja mendorong peningkatan pemilikan kenderaan itu, malah berpotensi merancakkan ekonomi penduduk setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan baharu. 

"Garis panduan ini bukan sahaja akan mengawal industri RV, tetapi juga meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan berorientasikan alam dan pengembaraan," katanya pada majlis perasmian Tapak Garis Panduan RV sempena Pesta Pantai Bagan Lalang 2025, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Dr Ani Ahmad. 

Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, industri RV kini semakin berkembang dan mendapat tempat sebagai mod perjalanan serta rekreasi moden.

Katanya, garis panduan RV disediakan PLANMalaysia pada Ogos tahun lalu bagi menangani jurang peraturan dan kekurangan infrastruktur, sekali gus mengukuhkan pertumbuhan mampan sektor RV negara. 

Beliau menjelaskan, PLANMalaysia berperanan membentuk peraturan pembangunan termasuk menyediakan kerangka menyokong sektor berkenaan yang sedang giat berkembang. 

PPBG 2025 anjuran MPSepang memasuki edisi ke enam bermula semalam hingga hari ini dengan menyediakan lebih 27 aktiviti menarik antaranya aktiviti sukan, sukan rakyat, kebudayaan serta pameran.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.