KUALA LUMPUR: Kuala Terengganu muncul sebagai destinasi paling berpatutan di Malaysia untuk tempoh perjalanan akan datang, dengan kadar bilik purata RM213 satu malam, demikian menurut platform pelancongan digital Agoda.
Pertama kali tersenarai dalam kedudukan ini, bandar tepi pantai ini berjaya memintas Kuching, yang sebelum ini memegang gelaran itu bagi tempoh April-Mei 2024 dan musim cuti hujung tahun.
Pengarah Negara Agoda untuk Malaysia dan Brunei, Fabian Teja, berkata April dan Mei merupakan musim puncak bagi pelancongan di Asia, dengan cuti umum seperti Hari Raya Aidilfitri di Malaysia, Minggu Emas di Jepun, dan Songkran di Thailand meningkatkan permintaan.
Namun, katanya
pelancong tidak perlu bimbang kerana Agoda menawarkan pelbagai pilihan
penginapan, penerbangan, dan aktiviti dengan nilai yang hebat.
"Senarai destinasi berpatutan ini membuktikan bahawa percutian mesra bajet masih boleh dinikmati, walaupun pada musim yang paling sibuk," katanya dalam satu kenyataan.
Phong Nha di Vietnam muncul sebagai juara dengan purata harga bilik serendah RM124 satu malam, menjadikannya pilihan utama bagi mereka yang inginkan pengembaraan dan keindahan semula jadi.
Selain Phong Nha, Tirupati di India dan Hat Yai di Thailand turut tersenarai di tiga kedudukan teratas, dengan purata harga bilik masing-masing RM150 dan RM177 satu malam.
Destinasi terbabit menawarkan gabungan unik pengalaman budaya, kulinari, dan pemandangan yang memukau, sesuai untuk percutian yang tidak dapat dilupakan.
Selain Kuala
Terengganu, destinasi lain di Asia yang turut tersenarai adalah Padang
(Indonesia), Bacolod (Filipina), Gimpo (Korea Selatan), Narita (Jepun) dan
Pingtung (Taiwan).
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.