Alor Setar /
23 Mac 2025 - Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor
hari ini melancarkan aplikasi Experience Jerai Hill, bagi memberi lebih banyak
kemudahan kepada orang ramai yang berkunjung ke Gunung Jerai.
Menurut
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Dato' Wira
Isahak Murat, aplikasi itu dibangunkan pihaknya setelah mendapati sambutan
terhadap destinasi pelancongan popular itu kian menggalakkan.
Selain itu
katanya, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha PKNK untuk
menjadikan Gunung Jerai sebagai destinasi pelancongan utama di utara tanah air.
"Secara
ringkasnya, orang ramai boleh
menggunakan aplikasi ini untuk melakukan sebarang urusan berkaitan
pelancongan di Gunung Jerai seperti tempahan bilik di The Jerai Hill Resort,
selain urusan meletak kereta di kaki gunung.
"Selain
itu, mereka juga boleh membuat tempahan untuk pelbagai aktiviti yang disediakan
di The Jerai Hill Resort termasuk 'sky bike', selain membuat tempahan makanan
mengikut selera masing-masing," katanya selepas mengiringi Menteri Besar
melancarkan aplikasi tersebut dalam satu majlis diadakan di Ukir Mall, dekat
sini.
Dato' Wira
Isahak Murat menambah, usaha membangunkan aplikasi itu merupakan sebahagian
daripada usaha PKNK untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada para pelancong
bersempena Tahun Melawat Kedah 2025.
"Sebenarnya
kami memiliki banyak lagi perancangan untuk menjadikan Gunung Jerai sebagai
destinasi pelancongan utama di utara Malaysia. Antaranya, kami memiliki
perancangan untuk menambah jumlah bilik
di Jerai Hill Resort berikutan permintaan yang sangat menggalakkan.
"Malah
pada tahun depan, para pengunjung dijangka boleh merasai pengalaman 'glamping'
di Gunung Jerai. Dalam masa sama, kami turut menaik taraf kemudahan-kemudahan
di situ termasuk pertambahan tandas, turapan jalan lebih baik serta penelitian
terhadap aspek kebersihan agar para pengunjung memperolehi kenangan indah
setiap kali berkunjung ke Gunung Jerai," katanya.
Experience
Jerai Hill dijangka dapat dimuat turun oleh pengguna android dan iOS tidak lama
lagi dengan usaha sedang dijalankan PKNK untuk mengembangkan lagi aplikasi
tersebut kepada produk-produk pelancongan lain di sekitar Gunung Jerai, agar
lebih banyak manfaat dapat diperolehi pengguna serta pengusaha pelancongan
setempat.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.