Saturday, 21 October 2023

Tourism Malaysia sambut baik penganjuran Anugerah ASIA 2023

 


KUALA LUMPUR : Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) menyambut baik usaha yang diperkenalkan Aston Creative bagi memberi penghargaan kepada penghasilan kandungan kreatif terbaik dalam kalangan pempengaruh media sosial menerusi penganjuran All Asia Influencers Award 2023 (ASIA 2023) yang diadakan baru-baru ini.


Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar, kehadiran pempengaruh media sosial dari Malaysia, Vietnam, Indonesia, Thailand, Taiwan dan Filipina dalam sebuah acara di sini baru-baru ini dilihat mampu memberi impak positif kepada pelancong luar untuk melancong ke Malaysia.

“ASIA 2023 berjaya menjadi platform terbaik untuk memasarkan Malaysia sebagai sebuah destinasi yangteru nggul di rantau ini. Di sini saya ingat merakamkan ucapan tahniah kepada Aston Creative kerana tampil dengan idea yang cukup hebat sekali gus memperkenalkan lokasi dan produk yang kita miliki.

“Melihat penganjuran di ASIA 2023, saya amat berbangga sekali kerana penganjur turut berjaya mencapai lebih 130 juta tontonan menerusi tanda pagar #AllStarInfluencersAward2023 dalam tempoh kurang seminggu sejak program itu berlangsung.

“Bayangkan daripada jumlah itu kita ambil 10 peratus pengguna media sosial datang melancong ke Malaysia, ia sudah mencapai target kami di Tourism Malaysia yang menyasarkan 16.1 juta pelancong (antarabangsa) pada tahun ini.

“Bagaimanapun perkara itu tidaklah semudah yang dibayangkan, tetapi saya percaya menerusi jumlah itu ia berjaya mencapai target untuk memberi kesedaran kepada pelancong luar mengenai pengalaman yang bakal mereka nikmati apabila melancong ke sini,”katanya.

Menurut Ammar, menariknya lagi mengenai penganjuran program itu adalah pendekatan setiap pempengaruh media sosial yang menggunakan bahasa masing-masing dalam berkongsi keindahan di negara ini.

“Apa yang saya nampak melalui program ini adalah setiap pempengaruh menggunakan bahasa masing-masing dalam menceritakan segala aktiviti dan program yang dilakukan di Malaysia kepada penduduk mereka.

“Dalam masa sama, penganjur juga berjaya menyebarkan keindahan bumi Malaysia kepada lebih ramai penduduk di rantau Asia apabila mereka membawakan beberapa wakil pempengaruh dari luar negara.

“Tidak dapat dinafikan media baharu mentransformasikan kehidupan kita. Jadi dunia digital menjadi semakin kuat hari ini sekali gus kita patut mengambil peluang ini untuk menarik lebih ramai pelancong terutama golongan muda.

“Bagaimanapun media konvensional tetap menjadi keutamaan dalam beberapa hal kerana tidak semua perkara sesuai di platform digital semata-mata kerana kami mempunyai khalayak sasaran yang kami ingin capai,”katanya.

Terdahulu pempengaruh media sosial dari Indonesia, Ahieb Reborn memenangi anugerah utama kategori Pempengaruh Media Sosial Terbaik di All Asia Influencers Award 2023 (ASIA 2023) yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kemenangan ini membolehkan Ahieb membawa pulang hadiah utama sebanyak RM47,300 dan trofi.

Kategori Pencipta Kandungan Terbaik pula dimenangi pempengaruh dari Filipina, Kissa Eats yang berjaya membawa pulang hadiah sebanyak RM23,600 dan trofi.

Bagi kategori Suntingan Terbaik dimenangi Hermansyah dari Indonesia yang berjaya memenangi hadiah wang tunai RM14,200 beserta trofi.

Penyampai Cerita Terbaik pula dimenangi Tikaolaa (Indonesia) dan trofi Pilihan Orang Ramai dibawa pulang oleh Syellaisk (Indonesia).

Asia 2023 anjuran Aston Creative yang diperkenalkan Pengarah Datuk Abd Rahman adalah satu acara khas yang mengumpulkan pempengaruh media sosial terkenal dari seluruh Asia termasuk Malaysia dengan matlamat utama mempromosikan Malaysia menerusi penghasilan kandungan kreatif.

Sebanyak 13 anugerah disampaikan malam tadi menerusi kategori penghasilan kandungan kreatif terbaik sempena dengan empat hari berlangsung acara berkenaan.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.