Tuesday, 17 October 2023

Adiguru jadi produk pelancongan baharu di serambi Mekah

 

WAN Eikmal Khalil (duduk, kanan) mendengar penerangan berkait dengan sulaman kelingkan pada program Jejak Warisan Adiguru Tourism Wilayah Timur di Rumah Melayu Kelantan Tiang 12 di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.

KOTA BHARU: Adiguru menjadi produk baharu yang dilihat mampu menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke negeri serambi Mekah sekali gus merangsang perkembangan ekonomi setempat.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Wan Eikmal Khalil berkata, selain mahir dalam satu-satu cabang seni pada masa sama adiguru itu mampu memberi tunjuk ajar kepada para pelancongan yang berminat mempelajarinya.

Menurutnya, setakat ini Kelantan mempunyai 18 adiguru yang pakar dalam pelbagai cabang seperti pembuatan patung wayang kulit, seramik, blok batik, sulaman kelingkang dan banyak lagi.

“Semua individu ini mempunyai kepakaran dan keistimewaan masing-masing yang boleh menarik minat pelancong untuk melihat secara lebih dekat pembuatan tersebut.

“Pada masa sama, kita mahu mengubah persepsi berkait pelancongan. Pelancongan ini sebenarnya luas dan tidak hanya tertumpu kepada kawasan peranginan seperti air terjun. Namun ia boleh dikembangkan melalui aktiviti jejak adiguru,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Jejak Warisan Adiguru Tourism Malaysia Wilayah Timur di Rumah Melayu Kelantan Tiang 12 di sini hari ini.

Wan Eikmal memberitahu, pemilihan Kelantan sebagai lokasi pertama itu bertepatan dengan sasaran 7 juta pelancong masuk ke negeri ini pada tahun 2023.

Katanya, sasaran itu mampu dicapai dengan promosi dan kerja keras dilakukan selain kehadiran adiguru.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.