Thursday, 12 October 2023

Acara golf sempena 50 tahun Tourism Malaysia bakal tarik 200 pemain

 


PUTRAJAYA: Lebih 200 pemain termasuk dari negara-negara ASEAN disasarkan bakal menyertai Cabaran Golf Pelancongan Malaysia Truly Asia 2023 pada 25 Oktober ini.


Menurut Pengerusi Koperasi Kakitangan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Berhad (Kopema), Datuk Musa Yusof, acara julung kali diadakan itu bersempena ulang tahun ke-50 Tourism Malaysia.

Beliau berkata, sejumlah 43 syarikat korporat termasuk dari luar negara bersetuju menjadi rakan strategik acara tersebut yang terbuka kepada para peminat golf.

“Meskipun bayar yuran RM1,200 setiap orang, namun tiada sesiapa akan pulang dengan tangan kosong kerana ada hadiah disediakan dan mereka main secara santai,” jelasnya selepas menyempurnakan Prapelancaran Cabaran Golf Pelancongan Malaysia Truly Asia 2023, di sini hari ini

Kejohanan itu akan berlangsung di Saujana Golf and Country Club, Shah Alam, Selangor dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik dan keseluruhan bernilai lebih RM500,000.

Acara berkenaan juga terang beliau, sebagai persiapan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan menjadikan pelancongan sukan sebagai antara produk tarikan.

Bahkan ujarnya, hadiah berupa sebuah kereta dan motosikal berkuasa besar ditawarkan kepada pemain bertuah yang kebetulan pula berjaya melakukan satu pukulan satu lubang.

Setakat ini tambah beliau, sejumlah 70 peratus daripada sasaran yang ditetapkan itu telah diisi dengan ramai pemain dari Singapura, Thailand dan China sudah pun mendaftar diri.

Dalam perkembangan berkaitan, Musa yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia berkata, pihaknya berhasrat mahu menjadikan ungkapan ‘Malaysia Truly Asia’ sebagai jenama negara ini di persada antarabangsa dan bukan lagi sekadar slogan biasa.

Malaysia Truly Asia’ dijadikan slogan pelancongan negara ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel XVI Kuala Lumpur 1998 sebagai usaha bagi memperingati sejarah kegemilangan Kesultanan Melaka abad ke-15 apabila menjadi hab dagang utama Asia dengan ada 84 bahasa dari seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Musa berkata, penganjuran Cabaran Golf Pelancongan Malaysia Truly Asia 2023 menjadi permulaan untuk lebih banyak ungkapan itu dijadikan sebagai jenama, apatah lagi negara memiliki lebih 200 lapangan golf yang menarik ramai pemain terbaik dunia.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.