Monday 16 October 2023

Tourism Malaysia Lancar Pakej “MALAYSIA BIRDWATCHING PARADISE 2023”

 


KOTA KINABALU, 16 Oktober 2023 - Tourism Malaysia telah melancarkan pakej “Malaysia Birdwatching Paradise 2023” bagi mempromosikan segmen pelancongan minat khas tersebut dalam kalangan pemerhati burung di dalam dan luar negara untuk meningkatkan lagi ketibaan pelancong ke Malaysia.

Sebanyak 15 pakej pelancongan ditawarkan oleh tujuh agensi pelancongan untuk tempoh perjalanan dari 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024 melibatkan lokasi tumpuan bagi aktiviti pemerhatian burung di negeri Sabah, Sarawak, Pahang, Kedah dan Terengganu. Penawaran pakej tersebut bermula daripada aktiviti pencerapan burung selama empat jam di Langkawi sehingga ke itinerari 7 hari 6 malam di Sarawak.

Tujuh agensi pelancongan yang terlibat ialah Danz Travel & Adventure Sdn Bhd, Natural History Tours Sdn Bhd, Ping Anchorage Travel & Tours Sdn Bhd, Borneo Nature Tours Sdn Bhd, Tabin Wildlife Holidays Sdn Bhd, Inter-Borneo Tours Sdn Bhd dan Borneo Birding Tours Sdn Bhd.

Kempen promosi pakej “Malaysia Birdwatching Paradise 2023” telah dilancarkan dan mula dijual kepada para pengunjung sewaktu penganjuran Asian Bird Fair 2023 yang berlangsung di Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu pada 13-14 Oktober 2023.

Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, segmen pencerapan burung giat dipromosikan selari dengan sokongan terhadap pelancongan mampan dan bertanggungjawab.

“Malaysia bertuah kerana memiliki kira-kira 873 spesies burung yang mewakili 7.4% daripada populasi global. Daripada jumlah itu, 91 spesies ialah jenis endemik atau hampir endemik serta tidak ditemukan di mana-mana lokasi lain di dunia.

“Oleh itu, Tourism Malaysia bersedia untuk mempromosikan lebih banyak segmen pelancongan minat khas seperti aktiviti pencerapan burung ini yang bukan sahaja menawarkan kelainan dalam pengalaman pelancongan di Malaysia, malah berpotensi membawa limpahan ekonomi kepada penggiat industri tempatan serta masyarakat setempat,” katanya.

Antara spesies burung di Malaysia yang mendapat tempat dalam kalangan pemerhati hidupan itu untuk disaksikan dalam tawaran pakej kali ini ialah burung jenis Blue-banded Pitta, Bornean Frogmouth, Bornean Barbet, Mountain Serpent Eagle, Mountain Rail Babbler, Crested Shrikejay, Barred Eagle Owl, Oriental Bay Owl, Dulit Frogmouth, Black Oriole, Hose’s Broadbill dan Bornean Frogmouth.

Maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh diperoleh menerusi laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel.

https://www.malaysia.travel/storage/files/pdf/bird-watching-paradise.pdf

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.