Sunday 15 October 2023

Pulau Pinang komited jadikan ghazal parti, boria, chingay seni warisan dunia

 


BUKIT MERTAJAM: Pulau Pinang komited untuk menyenaraikan seni persembahan tempatan seperti ghazal parti, boria dan chingay sebagai antara seni warisan dunia pada masa hadapan.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, ia bagi memastikan warisan kebudayaan yang dikategorikan sebagai tidak ketara itu terus dilindungi setelah mendapat pengiktirafan antarabangsa khususnya daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Hon Wai berkata, ketika ini, Malaysia mempunyai beberapa seni persembahan kebudayaan yang telah diangkat sebagai warisan dunia seperti makyong, dondang sayang, silat, pantun dan wangkang.

Selain itu, katanya, songket Malaysia juga telah diberi status dunia pada tahun lepas dan kebaya pula dijangka mendapat pengiktirafan yang sama daripada UNESCO tahun hadapan.

“Justeru, seperti seni persembahan boria, saya percaya ghazal parti juga berpotensi untuk diangkat sebagai Warisan Negeri, Warisan Kebangsaan dan seterusnya menjadi Warisan Dunia UNESCO yang dikenali sebagai ‘Representative List of the Intangible Cultural Heritage’ (Senarai Perwakilan untuk Warisan Kebudayaan Tidak Ketara),” katanya.

Beliau berucap sempena Majlis Perasmian Pesta Ghazal Parti 2023 di Pasar Raya Mydin Bukit Mertajam di sini, malam tadi.

Turut berlangsung pada majlis sama ialah penyampaian anugerah kepada para penggiat serta tokoh ghazal parti dari negeri ini.

Terdahulu, Pesta Ghazal Parti yang mendapat kerjasama daripada syarikat Omara Production serta beberapa agensi dan jabatan kerajaan termasuk Jabatan Penerangan negeri dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) itu telah bermula sejak Khamis lalu.

Ia susulan pelaksanaan Bengkel Ghazal Parti yang melibatkan penyertaan daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Kepala Batas serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Tok Jaya di Dewan Belia Lebuh Acheh, George Town.

Difahamkan, pelaksanaan bengkel itu bertujuan mewujudkan lebih ramai pelapis muda demi kelangsungan warisan seni persembahan ghazal parti.

Dalam pada itu, Hon Wai memberitahu, kerajaan negeri juga berhasrat merangka satu dasar berkaitan industri kreatif di Pulau Pinang agar ketiga-tiga seni persembahan itu iaitu boria, ghazal parti dan chingay diberikan satu fokus baharu dalam menjana ekonomi kreatif.

Untuk itu, katanya, satu perbincangan lanjut akan diadakan bersama beberapa agensi berkaitan dalam masa terdekat.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.