Tuesday 17 October 2023

Festival Budaya Borneo 2023 ketengahkan keunikan Sabah, Sarawak

 

JASON Hee (dua dari kanan) bersama tetamu jemputan dalam sidang akhbar mengenai Festival Budaya Borneo 2023 di Kuala Lumpur semalam.

PETALING JAYA: Festival Budaya Borneo 2023 (BCF 2023) yang akan berlangsung pada 28 dan 29 Oktober ini akan mengete­ngahkan keunikan budaya, seni serta tradisi di Sabah dan Sarawak.

Penganjur, Dr. Jason Hee berkata, program itu menggunakan elemen budaya dan seni agar rakyat Malaysia dapat berinteraksi dengan lebih menyeluruh antara satu sama lain.


Malah katanya, ia memberi gambaran mendalam mengenai budaya dan warisan Borneo kepada komuniti Semenanjung dan melindungi nilai budaya agar tidak dilupakan generasi baharu.


Katanya, justeru festival berkenaan bakal menjanjikan pengalaman baharu menerusi pelbagai acara menarik seperti pameran budaya yang menonjolkan pakaian tradisional, peralatan tradisional, hasil kraf ta­ngan dan gambar sejarah etnik di Borneo.


“Dalam festival ini, pe­ngunjung berpeluang mencuba pakaian­ tradisional dan di samping merakam gambar sebagai memori kenangan. Mereka juga boleh menikmati persembahan muzik dan tarian yang memukau yang mewakili pelbagai kumpulan etnik Sabah dan Sarawak.


“Selain itu festival ini menawarkan pelbagai hidangan tradisional Borneo termasuk makanan eksotik seperti ulat butot, bambangan, buah tarap, dan anggur laut,” katanya dalam kenyataan.


BCF 2023 bakal dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kiti­ngan yang berlangsung selama dua hari pada 28 dan 29 Oktober, bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam di Pusat Membeli-belah Subang Parade.


Festival itu merupakan anjuran bersama Persatuan Fesyen,­ Pemodelan dan Pageant Malaysia (MFMPA) de­ngan Ra­pid Borneo Freight & Shipping Inc. serta GOGO Puteri dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Pusat Membeli-Belah Subang Parade dan Parkroyal Collection Kuala Lumpur.


Dalam pada itu, Jason me­rangkap Presiden MFMPA berkata, BCF 2023 juga mempunyai potensi baharu untuk memupuk semangat perpaduan menerusi pemahaman yang mendalam dalam kala­ngan rakyat Malaysia berhubung kelestarian warisan budaya Borneo untuk pemahaman generasi masa depan.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.