Wednesday 11 October 2023

Lenggong tuan rumah sukan lasak Iron Bound A1 World Cup

 


LENGGONG: Selepas kejayaan penganjuran sukan lasak ‘Lenggong 48H Iron Bound A1 National Series 2022’ tahun lalu, Lenggong sekali lagi akan menjadi tumpuan pasukan elit ‘adventure racing’ dunia pada pertandingan ‘Lenggong Iron Bound A1 World Cup’ pada 8 hingga 12 November tahun depan.


Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, acara itu disenaraikan dalam kalendar antarabangsa A1 Nationwide yang diadakan sempena Tahun Melawat Perak 2024.


Menurutnya, kejohanan itu diharap dapat menarik lebih ramai penyertaan selepas tahun lalu disertai 100 pasukan dan 400 atlet termasuk lapan pasukan antarabangsa dan 32 daripada pesertanya dari Australia, Hong Kong, New Zealand dan beberapa negara lagi.


“Kejohanan ini mendapat hak penganjuran berlesen daripada ‘A1 Nationwide Australia’ dan ‘World Obstacle Federation Swiss’ dan pada tahun 2024, Malaysia diberi mandat untuk menganjurkan ‘A1 World Cup’.


“Kejohanan ‘Expedition Adventure Racing’ ini dianjurkan oleh Akademi Orienteering Malaysia, penganjurnya adalah anak jati Perak, berpengalaman dalam penganjuran sukan lasak antarabangsa.


“Kejohanan ini juga mendapat sokongan Majlis Pelancongan Lenggong dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau.

Menurutnya, kejohanan berformatkan perlumbaan berpasukan terdiri daripada empat orang dan berlangsung selama 72 jam tanpa henti.


Perlumbaan melibatkan disiplin seperti orienteering, berbasikal bukit, berkayak, berakit, tali tinggi, memasuki gua, berlari denai dan merentas hutan dan kesemua disiplin itu akan ditempuhi secara bernavigasi dan pemetaan.


Beliau berkata, penganjuran kejohanan itu akan memberi impak besar kepada ekonomi dan pelancongan di daerah Lenggong Shamsul Anuar yang juga Pengerusi Majlis Pelancongan Lenggong menyokong penganjuran aktiviti itu untuk membantu memajukan industri pelancongan Lenggong, sesuai dengan Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco dan Lenggong Geopark Kebangsaan.


“Penganjuran acara ini juga membantu merancakkan kegiatan ekonomi tempatan dan negeri termasuk sektor penginapan, makanan dan IKS serta lain-lain.

“Saya harap masyarakat dan rakyat Perak dan Lenggong khususnya menyokong penganjuran acara ini dan datang menyaksikannya ketika acara ini dilangsungkan nanti,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.