PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan
Budaya (MOTAC) akan memastikan inisiatif dan strategi yang berterusan bagi
mempromosikan destinasi dan produk-produk pelancongan, seni dan
budaya yang menarik.
Menterinya,
Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penganjuran Festival Budaya Putrajaya 2023
merupakan contoh yang menonjolkan Putrajaya bukan sahaja sebagai pusat
pentadbiran, tetapi sebagai destinasi pelancongan yang mempunyai landskap dan
persekitaran menarik, selain seni bina bangunan yang unik dengan identiti
tersendiri.
“Oleh
itu, izinkan saya untuk mengambil kesempatan di sini bagi mencadangkan kepada
Kerajaan Persekutuan agar mengiktiraf dan memobilisasikan semua penjawat awam
di sekitar Putrajaya sebagai duta promosi atau jurucakap Putrajaya.
“Mereka bukan sahaja penduduk Putrajaya yang
ramai tetapi mempunyai identiti sebagai warga yang ramah dan ceria, sesuai
untuk mempromosikan Putrajaya melalui lisan dan media sosial.
“Sudah
tentu, Putrajaya berpotensi untuk terus berkembang dan maju sebagai destinasi
pelancongan,” katanya ketika berucap sempena Festival Budaya Putrajaya 2023 di
Dataran Putrajaya, kelmarin.
Dalam
pada itu, tambah King Sing, tugas utama MOTAC bukan sahaja untuk menarik
pelancong dan mempromosi sektor pelancongan tetapi turut menekankan pentingnya
mempromosi kebudayaan dan kesenian Malaysia.
“Perpaduan dapat dicapai melalui kebudayaan
dan seni seperti dalam tarian dan muzik yang memerlukan kerjasama dalam satu
pasukan. Tanpa kerja berpasukan, sesebuah tarian atau alunan muzik itu tidak
dapat dipersembahkan dengan baik.
“Begitu
juga dengan sebuah kerajaan atau kementerian yang memerlukan kita bekerja dalam
satu pasukan mantap seterusnya dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan
negara, selari dengan konsep perpaduan dan Madani yang dicetuskan Perdana
Menteri yang harus kita semua jayakan bersama,” katanya.
Festival yang diadakan
buat julung kali itu turut menyaksikan catatan dalam Malaysia Book of Records
menerusi penganjuran Konsert Mega Dikir Barat dan Paluan Rebana berskala antarabangsa
pertama diiringi Orkestra Tradisional Malaysia.
Program selama empat hari bermula 28 September
sehingga semalam itu dibawakan oleh MOTAC dengan kerjasama rakan strategik
Perbadanan Putrajaya dan Istana Budaya yang dirasmikan oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar
sewaktu berucap pada majlis itu turut mencadangkan festival yang diadakan buat
julung kali ini dimasukkan dalam kalendar MOTAC sebagai acara tahunan negara.
Malah,
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan dan memuji penganjuran acara yang
berlangsung sejak Khamis lalu.
Anwar
berkata, aktiviti seni dan budaya harus diperkasa seiring dengan kemajuan
ekonomi negara.
“Oleh
kerana saya lihat (persembahan) hebat malam ini (semalam), mungkin saya akan
cadangkan supaya acara Festival Budaya Putrajaya ini dijadikan acara tahunan di
Putrajaya,” katanya.
Lima segmen persembahan yang dipertontonkan kepada pengunjung yang hadir
meliputi paluan buka panggung dan bertabuh, persembahan lagu Jogho, battle
tukang karut, lagu rampaian serta Dikir Kreasi diiringi oleh 230 pemain rebana
dan 200 awak-awak.
Selain itu, antara
yang turut menarik perhatian adalah penganjuran Coffee Republic dengan
penglibatan 70 gerai pelbagai jenama kopi dan menu pilihan juadah, pertandingan
barista Latte Art dan pertandingan kopi tarik.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.