Tuesday 5 September 2023

Konvoi Kembara Jalanan Tourism Malaysia #DAHSAMPAI Rancakkan Pelancongan Domestik

 


BUKIT JALIL, 2 September 2023 Kempen pelancongan domestik dirancakkan dengan penganjuran Kembara Jalanan Tourism Malaysia #DahSampai yang melibatkan konvoi ke Kuala Terengganu dari 2 - 3 September 2023. Program dengan kerjasama Astro AWANI ini disertai oleh 17 kenderaan termasuk 5 mini karavan dengan keseluruhan seramai 40 peserta.


Siri jelajah ini diadakan bagi mempromosikan kandungan penjenamaan pelancongan (branded tourism content) menerusi program 7 episod Island Checkpoint, berkonsepkan pengalaman untuk menerokai pulau-pulau menarik di Johor, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.


Dato’ Dr. Ammar Abd Ghapar Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, konvoi ini bertujuan untuk mempromosikan produk pelancongan tempatan melalui penganjuran acara di lapangan termasuk persinggahan di beberapa hentian (pit stop) di sepanjang perjalanan.


“Acara santai ini bertujuan untuk menyebarluas kempen pelancongan domestik “Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia” di samping mempromosikan produk pelancongan negeri sekaligus memperkasakan sektor pelancongan domestik,” katanya selepas melancarkan Majlis Pelepasan Konvoi di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Pengerusi Astro AWANI, Encik Henry Tan.


Beliau berkata pelbagai aktiviti turut dilaksanakan sepanjang perjalanan konvoi tersebut termasuk lintas langsung hentian (pit-stop) di mana pendengar saluran Radio ERA boleh melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti menarik selain memenangi hadiah saguhati.


Selain itu, pelbagai aktiviti juga dianjurkan di KTCC Mall, Kuala Terengganu membabitkan aktiviti mesra keluarga dan kanak-kanak, persembahan kebudayaan, demonstrasi masakan, program bual bicara selain penampilan Skuad ERA bersama peserta delegasi konvoi dari Tourism Malaysia, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Persatuan Spa Malaysia (AMSPA), Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan Sepang International Circuit (SIC).


Kolaborasi Tourism Malaysia bersama Astro AWANI ini adalah untuk memastikan kandungan berkaitan produk pelancongan diberi suntikan lebih kreatif seiring dengan kehendak pengguna ketika ini. Melalui jelajah ini, produk pelancongan tempatan juga akan diterjemah melalui kandungan televisyen dan digital.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.