Monday 11 September 2023

Destinasi pelancongan mesra muslim: ITC fokus tingkat pemahaman pemain industri

 


PETALING JAYA: Pusat Pelancongan Islam (ITC), iaitu sebuah agensi di bawah seliaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) memberi fokus mempertingkatkan pemahaman berhubung program Pengiktirafan Penginapan Mesra Muslim (MFAR) dalam kalangan pemain industri.

Ketua Pengarah ITC, Nizran Noordin berkata, ia selaras dengan perkembangan sektor pelancongan dan jangkaan peningkatan pelancong Muslim ke negara ini sehingga ke penghujung tahun.

Selain itu katanya, pemahaman tersebut penting bagi Malaysia yang dikenali sebagai salah sebuah destinasi mesra muslim terbaik dan kepelbagaian aktiviti pelancongan patuh syariah.

“Kita mahu beri pemahaman dan juga menetapkan standard untuk penggiat industri memami keperluan pelancong muslim tersebut. Ini kerana banyak pemain industri yang tidak faham sepenuhnya apa yang dikatakan halal dan mesra muslim.

“Mereka hanya tahu arak dan babi sedangkan ia lebih daripada itu apabila memperkatakan pelancong muslim. Mereka mahukan sejadah, bilik yang mempunyai arah kiblat dan lebih baik kalau ada surau selain restoran yang mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sijil MFAR merupakan lanjutan daripada sistem penarafan bintang hotel oleh Motac dan merupakan penarafan berkaitan pelancongan Islam yang pertama di dunia yang dikeluarkan oleh badan atau agensi kerajaan.

Sehingga kini, ITC telah memberikan pengiktirafan kepada lebih 50 hotel di Malaysia sebagai mesra muslim.

Tambah Nizran, dengan adanya satu standard dan pengiktirafan, ia dapat memudahkan agensi yang bertanggungjawab dalam bidang pelancongan tentang konsep pelancongan mesra muslim di negara ini.

“Dengan adanya satu standard, ia menjadi satu pengiktirafan kepada penjenamaan dengan tujuan memberikan keyakinan dan keselesaan kepada pelancong Muslim.

“Ia juga dalam masa yang sama menunjukkan bahawa penginapan yang mendapat sijil MFAR ini bertetapan dengan prinsip Islam,” jelasnya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.