Sunday, 3 September 2023

MOTAC lulus RM9.675 juta geran kebudayaan

 


KLANG: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) meluluskan peruntukan sebanyak RM9.675 juta melalui 127 permohonan dalam Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) 2023 sebagai usaha untuk memperkasa ekosistem sektor tersebut di negara ini.


Timbalan Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd. Zamri Mat Zain ketika membacakan ucapan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kelulusan tersebut diberikan bagi permohonan sehingga 19 Ogos lalu di bawah Jawatankuasa Panel Pelulus Geran Sokongan Sektor Kebudayaan.


“Bagi memastikan ekosistemnya kekal berdaya saing dan diperkasa pada 2023, GSSK MOTAC diteruskan selari dengan matlamat dan nilai teras madani,” katanya pada Majlis Perasmian Festival Merakyatkan Seni Budaya Mah Meri, malam tadi.


Tambahnya festival tersebut adalah julung kali dianjurkan sebagai usaha mempamerkan keunikan budaya warisan akar umbi masyarakat Orang Asli etnik Mah Meri yang melibatkan lima buah kampung komuniti itu di Pulau Carey.


“Keunikan tersebut membolehkan MOTAC membantu dengan mengambil tindakan strategik dengan menganjurkan pameran seni khas dan pertunjukan bagi mempromosi dan menyoroti budaya Mah Meri,” ujarnya.


Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah memberitahu pameran kebudayaan masyarakat Orang Asli Mah Meri menjadi produk pelancongan yang terus merancakkan sektor ekonomi itu di negeri ini.


“Saya mengharapkan ikon pelancongan baharu ini akan menjadi salah satu tarikan untuk pelancong bergambar sekaligus dapat mempromosikan tempat kita dan masyarakat kita yang sangat unik ini ke luar negara.


“Kita perlu merangka lebih banyak idea baharu yang dekat kepada aktiviti seni budaya masyarakat supaya pelancong  bukan sekadar hadir ke tempat-tempat tertentu seperti pusat membeli belah, taman tema dan sebagainya, tetapi memilih untuk menginap dan bermalam di sini,” ujarnya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.