Saturday, 19 August 2023

Taman Burung Melaka berwajah baharu

 



MELAKA: Taman Burung Melaka yang terletak berhampiran Taman Botanikal di Ayer Keroh di sini akan dibuka semula kepada pengunjung bermula Februari tahun depan selepas ditutup sejak 2019.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata, penutupan dibuat bagi menaik taraf taman itu sejak pengambil alihan pengurusan daripada pihak swasta oleh MPHTJ.

Menurutnya, ia perlu dibaik pulih sepenuhnya selepas beberapa infrastruktur dalam sangkar rosak akibat ditinggalkan begitu lama oleh pengurusan sebelum ini.

“MPHTJ telah melantik sebuah syarikat sebagai operator baharu dari Wildlife yang merupakan pembekal burung di Malaysia bagi mengendalikan semula taman tersebut.

“Penampilan Taman Burung Melaka kali ini dijangka lebih menarik buat pengunjung dengan beberapa elemen baharu ditampilkan dalam sangkar seperti air terjun buatan, jejantas dan tempat memberi makan burung.

“Di bahagian luar pula telah dinaik taraf seperti membina medan selera baharu dan beberapa kemudahan lain bagi kemudahan pengunjung nanti. Operator baharu dilantik telah menanggung semua kos baik pulih dan kita jangka akan dibuka sama ada Februari atau Mac tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Kompleks Melaka Mall di sini, hari ini.

Tambah Sapiah, konsepnya masih kekal seperti sebelum ini di mana pengunjung akan berada dalam sangkar dan dapat mendekati pelbagai spesis burung serta bergambar dengan haiwan itu.

Menurutnya, dijangkakan taman berkenaan bakal mempunyai lebih 200 spesis burung tempatan dan luar negara.

“Apabila dibuka nanti ia dijangka menarik ramai pengunjung dan menambah satu lagi koleksi produk pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024,” jelasnya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.