Tuesday, 15 August 2023

Tahun Melawat Perlis 2024-2025: Kepakaran NGO, komuniti pelancongan Perlis perlu dimanfaat

 


KANGAR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti pelancongan di negeri ini yang banyak memainkan peranan membantu merancakkan sektor pelancongan di Perlis perlu diberi peranan serta perhatian mengikut kepakaran dalam bidang masing-masing bagi membantu kerajaan negeri menjelang Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Setiap NGO dan komuniti tersebut masing-masing mempunyai kepakaran dalam sektor pelancongan berasaskan ekopelancongan, sukan dan rekreasi, seni budaya, arkeologi dan pengeluar produk berasaskan pelancongan.

Presiden Persatuan Pelancongan dan Rekreasi Negeri Perlis (Trooper), Ku Hasrin Ku Abd. Rahman berkata, semua NGO dan komuniti terlibat perlu bergerak secara sinergi dengan matlamat untuk kebaikan pelancongan Perlis dengan lebih produktif.

Katanya, apa yang lebih penting peranan tersebut perlu diberi keutamaan kepada anak-anak Perlis yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang berkenaan.

Malah katanya, dalam kalangan komuniti dan NGO tersebut juga telah mendapat pengiktirafan dari pihak luar dan perlu dimanfaatkan oleh kerajaan negeri dalam membantu sektor pelancongan negeri ini.

“Kami telah merangka pelbagai aktiviti sepanjang tahun ini dan tahun hadapan dalam membantu persiapan selain promosi untuk Tahun Melawat Perlis.

“Antara aktiviti dan program yang telah dan akan dilaksanakan adalah Wang Gunung Trail Run, Perlis Ultra Maraton, IMT-GT Outdoor Festival yang bersifat antarabangsa dan beberapa lagi program besar lain.

“Secara tidak langsung ia turut membantu mempromosikan Tahun Melawat Perlis 2024-2025,” katanya di sini hari ini.

Sebagai rekod, Trooper diwujudkan hasil gabungan NGO, komuniti dan pemain industri pelancongan di Perlis.

Setakat ini, sebanyak 12 NGO dan komuniti pelancongan tersebut berada di bawah Trooper.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.