Saturday, 12 August 2023

Wang Gunung Trail Run platform promosi lokasi agro pelancongan Perlis

 


KANGAR: 480 peserta termasuk daripada luar negara ini yang menyertai Wang Gunung Trail Run menikmati pengalaman dan cabaran luar biasa berlari khususnya pada waktu malam di Banjaran Nakawan dan beberapa lokasi sekitar di situ.

Peserta yang datang dari seluruh negara termasuk Thailand, Singapura dan Poland itu telah mengambil bahagian dalam tiga kategori yang dipertandingkan iaitu larian sejauh 45 kilometer, 15 kilometer serta terbuka.

Penganjuran tersebut turut menjadi antara platform mempromosikan lokasi agro pelancongan menarik di negeri ini yang berpotensi diperkenalkan kepada orang ramai terutama menjelang Tahun Melawat Perlis 2024/2025.

Pengarah program berkenaan, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman berkata, lokasi penganjuran program di Banjaran Nakawan yang sememangnya terkenal dengan bukit batu kapur terpanjang di Malaysia itu telah menarik penyertaan memberangsangkan.

“Kita bersama agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian negeri juga dalam misi bagi membangunkan sektor agro pelancongan di negeri ini.

“Perlis mempunyai banyak lokasi agro pelancongan yang berpotensi dan kita gunakan platform ini untuk mempromosikannya khususnya menjelang sambutan Tahun Melawat Perlis 2024/2025,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Wang Gunung Trail Run di Taman Buah-Buahan Eksotik Sungai Batu Pahat di sini hari ini.

Hadir sama dalam program berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad dan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Hafizuddin Othman.

Tambah Ku Hasrin, pada peserta menikmati pengalaman cukup berharga sepanjang larian termasuk pada sebelah malam di beberapa lokasi seperti ladang harumanis dan anggur yang sememangnya sinonim dengan Perlis.

“Bagi program ini, kita telah membuat persediaan sejak enam bulan sebelum penganjurannya dalam menarik penglibatan orang ramai malah kira-kira 60 peratus daripada peserta adalah dari luar Perlis,” katanya.

Sementara itu, Razali pula berkata, penganjuran program itu merupakan satu usaha ke arah mempromosikan lokasi agro pelancongan di Perlis sebagai sebahagian daripada persediaan Tahun Melawat Perlis 2024/2025.

Katanya, terdapat beberapa lokasi agro pelancongan di negeri ini berpotensi untuk diketengahkan seperti Pusat Kecemerlangan Harumanis, Superfruits Valley Chuping, Taman Buah-Buahan Eksotik dan pelbagai lagi.

“Kerajaan negeri bersama agensi juga sedang dalam proses membaik pulih beberapa lokasi agro pelancongan dalam menarik lebih ramai kehadiran pengunjung ke Perlis,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.