Monday 28 August 2023

Agropelancongan Sarawak mampu kurangkan kemiskinan

 

DOUGLAS Uggah (tengah) berkunjung ke salah satu pameran usahawan kraftangan Sarawak selepas merasmikan Persidangan dan Ekspo Agropelancongan Sarawak 2023 (SatCE 2023) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BBCK), di sini hari ini.

KUCHING: Aliran pendapatan negeri Sarawak yang meningkat setakat ini mampu merealisasikan hasrat kerajaan negeri dalam mengurangkan kadar kemiskinan sekali gus meningkatkan pendapatan petani, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Kata Abang Johari, melalui aliran pendapatan ini, peluang perniagaan baharu berkaitan agropelancongan juga dapat diterokai dengan baik. 

“Kerajaan Sarawak komited untuk menyokong sepenuhnya pembangunan sektor agropelancongan di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030. 

“Agropelancongan memainkan peranan yang penting dalam strategi PCDS 2030 yang memberi tumpuan kepada keterangkuman sosial dan memacu faedah ekonomi dan sosial untuk semua rakyat Sarawak,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan dan Ekspo Agropelancongan Sarawak 2023 (SatCE 2023) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BBCK), hari ini. 

Teks ucapan Abang Johari dibaca oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah yang turut menegaskan bidang agropelancongan di negeri ini masih lagi di peringkat awal. 

Bagaimanapun, jelasnya, infrastruktur dan kemudahan ladang di Sarawak boleh dipromosikan secara strategik untuk meletakkan negeri ini di barisan hadapan dalam agropelancongan.

“Dengan menawarkan produk pelancongan yang tersendiri dan unik, kita (Sarawak) boleh meningkatkan pengiktirafannya melebihi tawaran biasa dalam pelancongan,” tambahnya.

Dalam perkembangan yang sama, Abang Johari juga yakin Sarawak mampu menawarkan pengalaman agropelancongan yang kaya dan tulen bagi menarik pelancong berpendapatan tinggi yang menghargai tanah, masakan dan tradisi negeri ini.

“Agropelancongan juga merupakan satu cara untuk memartabatkan masyarakat setempat dan memudahkan pembangunan luar bandar.

“Pelancongan berasaskan komuniti, sebahagian daripada agropelancongan, memperkasakan penduduk tempatan dengan melibatkan mereka secara langsung dalam aktiviti pelancongan. 

“Justeru, melalui penglibatan ini bukan sahaja membawa faedah ekonomi, tetapi juga memperkukuh nilai memelihara persekitaran pertanian, ekologi dan budaya kita,” katanya.

Menerusi persidangan itu, Abang Johari turut menggalakkan pelaburan dalam agropelancongan bagi menggalakkan pembangunan infrastruktur baharu, penginapan, pengeluaran makanan dan perkhidmatan pelancongan.

“Sektor ini membuka peluang pekerjaan sama ada sepenuh masa dan sambilan, mewujudkan pasaran pekerjaan baharu untuk graduan universiti dan lepasan sekolah kita.

“Seterusnya akan meningkatkan pembangunan luar bandar, penyertaan masyarakat dan penciptaan pekerjaan,” dedah Abang Johari.

Penganjuran SatCE 2023 merangkumi perbincangan mengenai trend global dan dasar serantau dalam agropelancongan, pelancongan regeneratif, pengeluaran makanan berasaskan komuniti, pelancongan ladang dan petunjuk kemampanan.

Pada masa sama, persidangan ini akan memberi gambaran secara keseluruhan berhubung pertanian di Sarawak dan kajian kes agropelancongan dari negara luar seperti New Zealand, Australia, Indonesia dan Filipina.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.