Monday 14 August 2023

20 aktiviti menarik menanti pengunjung Pesta Bagan Lalang hujung minggu ini

 


SEPANG: Majlis Perbandaran Sepang (MPS) bakal menganjurkan Program Pesta Pantai Bagan Lalang @ Sepang sebagai salah satu usaha ‘menghidupkan’ suasana pantai tarikan utama pelancong ke daerah ini.

Menurut Yang Dipertua MPS, Datuk Abd. Hamid Hussain, ia merupakan acara tahunan sejak tahun 2016, namun tertangguh pada 2020 akibat pandemik Covid-19 dan digerakkan semula pada tahun ini mengambil kira sambutan menggalakkan daripada pengunjung, penduduk dan peniaga tempatan.

Katanya, Bahagian Kebudayaan, Kesenian, Sosial dan Pelancongan, Jabatan Pembangunan Masyarakat, MPS menetapkan sasaran untuk melaksanakan Pesta Pantai Bagan Lalang di bawah Teras 3 – Pembangunan Mampan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor.

“Saya melihat ini merupakan satu pendekatan terbaik bagi menghidupkan suasana di Pantai Bagan Lalang. Setiap pantai perlu mempunyai acara tersendiri bagi menambah daya tarikan kepada pengunjung untuk datang ke sini khususnya dengan adanya penganjuran program berkualiti seperti ini,” katanya di sini hari ini.

Pesta Pantai Bagan Lalang akan diadakan pada 19 dan 20 Ogos iaitu pada hujung minggu ini dengan 20 aktiviti menarik dianjurkan sepanjang pesta itu.

Antaranya ialah bola tampar pantai dengan kerjasama Pejabat Belia Daerah Sepang; Pertandingan Wau Kapal dengan kerjasama Persatuan Wau Kapal Selangor dan Pertandingan Silat Antarabangsa @ Sepang kerjasama dengan PESAKA Daerah Sepang.

Selain itu ialah, Pertandingan Memasak Kuih Bangkit Buah Naga dengan kerjasama Pusat Wanita Berdaya Sg. Pelek yang merupakan ciptaan inovasi pertama di Selangor sekali gus bakal menjadi ‘trademark’ kepada daerah Sepang yang kaya dengan hasil buah naga.

Turut dimeriahkan ialah acara Pertandingan Tarik Tali Pantai, Pertandingan Istana Pasir, persembahan artis tempatan selain Sukan Rakyat dan Permainan Tradisional serta Merdeka Fun Ride dan Fun Run.

Pantai Bagan Lalang antara pantai yang cantik di Selangor selain Pantai Morib dan Bagan Nakhoda Omar yang popular sebagai lokasi perkelahan dan perkhemahan.

Semasa air surut di Pantai Bagan Lalang, pengunjung boleh berjalan ke tengah laut sehingga 300 ke 400 meter.

Pantai Bagan Lalang juga merupakan lubuk makanan laut bagi penggemar makanan laut kerana terdapat banyak restoran ikan bakar yang menyajikan makanan laut yang segar di sekitar kawasan pantai.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.