TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail melancarkan promosi masakan Perlis di Bahang Bay Hotel, Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Pulau Pinang, semalam.- UTUSAN |
20 Ogos 2023, KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar usaha-usaha untuk memperkenalkan keunikan negeri Perlis kepada orang luar khususnya para pelancong hendaklah diteruskan dengan agresif dan bertali arus lagi dari masa ke semasa.
Titah baginda, pendekatan yang lebih menarik seperti mempromosikan Perlis melalui media sosial dan juga media arus perdana seperti akhbar, televisyen, serta majalah-majalah dengan penulisan artikel menarik dan gambar yang dapat menggambarkan keindahan tempat-tempat di Perlis perlu diperhebatkan.
“Semoga negeri ini akan lebih dikenali di dalam dan luar negara dan menjadi salah satu pusat pelancongan terkenal baharu yang popular di Malaysia,” titah baginda selepas berkenan berangkat melancarkan promosi masakan Perlis di Bahang Bay Hotel, Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Pulau Pinang, semalam.
Keberangkatan tiba baginda bersempena program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Pendidikan negeri dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) itu disambut oleh Pengarah Jualan & Pemasaran, The Blanket Group of Hotels & Resorts, Mariana Omar; Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra, Datuk Johari Mohd Darus dan penyelaras pelaksanaan inisiatif tersebut, Affendi Rajini Kanth.
Bahang Bay Hotel merupakan salah satu hotel di bawah The Blanket Group of Hotels & Resorts dan terdapat empat lagi hotel lain antaranya Langkapuri Resort, Langkawi; Vouk Hotel & Suites, Pulau Pinang; De Palma Hotel, Shah Alam; dan De Palma Resort, Kuala Selangor.
Bermula 21 Ogos, masakan kurma daging Perlis akan menjadi sebahagian daripada menu istimewa yang ditawarkan di kelima-lima buah hotel berkenaan atas limpah perkenan baginda sebagai sebahagian daripada usaha kecil untuk menjayakan kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 kepada pasaran pelancongan domestik di negara ini.
Tuanku Syed Faizuddin berharap agar hidangan masakan ini akan sedikit sebanyak mampu menambat selera pengunjung.
Baginda juga sempat meluangkan masa bersama Eksekutif Sous Chef hotel tersebut, Azlin Abdullah bagi memastikan menu ini disediakan dengan sesempurna mungkin.
Seterusnya Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan agar lebih banyak lagi kolaborasi promosi makanan Perlis dapat dijalankan agar secara tidak langsung menu-menu istimewa dari Perlis ini dapat diperkenalkan seperti yang telah baginda laksanakan bukan sahaja di luar negeri malah di peringkat antarabangsa sebelum ini.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.