AZMIL MUNIF MOHD. BUKHARI (dua kiri) menyaksikan sesi 'networking' antara Lada dengan pemain industri pelancongan di Hotel Thistle, Johor Bahru. |
JOHOR BAHRU: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyasarkan sektor pelancongan di pulau itu pulih sepenuhnya seperti sebelum pandemik Covid-19 pada 2025.
Pengurus Pelancongan Lada, Dr. Azmil Munif Mohd. Bukhari berkata, sasaran itu melibatkan seramai 3.9 juta pelancong domestik dan antarabangsa dan situasi itu menunjukkan trend pemulihan.
“Tahun ini, kita sasarkan kehadiran pelancong seramai 3.2 juta ke Langkawi, peningkatan berbanding seramai 2.5 juta pelancong tahun lalu. Jumlah itu melibatkan sebanyak 80 peratus pelancong domestik, manakala 20 peratus pelancong antarabangsa.
“Peningkatan sasaran pelancong tahun ini turut dibantu dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa China pada Mac lalu.
“Kini, pelancong China kembali menjadikan Langkawi sebagai antara destinasi pelancongan mereka. Selain itu, Langkawi turut menjadi destinasi pelancong dari India, United Kingdom, Australia, Singapura serta negara benua Eropah dan Timur Tengah,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Tourism Networking Bersama Pemain Industri Pelancongan Langkawi di Hotel Thistle, di sini hari ini.
Pihaknya juga giat menjalankan pelbagai program dalam usaha untuk terus menarik kehadiran lebih ramai pelancong, khususnya dari pelbagai negara bagi mencapai matlamat pemulihan penuh sektor pelancongan Langkawi.
“Pada waktu ini, terdapat lebih 200 penerbangan ke Langkawi sebulan, namun hanya dua melibatkan penerbangan terus antarabangsa, iaitu Singapura dan China yang melibatkan penerbangan sewa khas.
“Bagi meningkat kehadiran pelancong antarabangsa, kita sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa negara untuk mewujudkan penerbangan terus secara sewa khas ke Langkawi termasuk dari Poland.
“Selain itu, beberapa usaha lain turut dilaksanakan termasuk mengadakan sesi ‘networking’ dengan pemain industri pelancongan tempatan dan antarabangsa serta beberapa tarikan baharu di Langkawi, antaranya Dream Forest yang menawarkan pengalaman melalui kawasan hutan simpan dengan pelbagai cerita legend Langkawi dimainkan.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.