Saturday 5 August 2023

Pemangku Raja bantu promosi Tahun Melawat Perlis di Los Angeles

 

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika hadir pada majlis mempromosi Tahun Melawat Perlis 2024-2025 di Figueroa Street, Los Angeles, California, kelmarin.

PETALING JAYA: Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan promosi ‘Perlis – The Undeniable Charm’ sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 bersama para pemain industri pelancongan bagi pasaran Los Angeles, Amerika Syarikat semalam.

Seramai 28 orang wakil daripada kalangan agensi pelancongan, syarikat penerbangan, media dan pempengaruh di Los Angeles menghadiri sesi rangkaian industri yang diadakan di Figueroa Street, Los Angeles, California yang dianjurkan oleh Pejabat Tourism Malaysia Los Angeles dengan kerjasama Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles.

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin Putra yang diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu Baginda berdua iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail, yang disambut oleh Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Anil Fahriza Adenan serta Naib Presiden Tourism Malaysia Los Angeles, Akbal Setia selaku tuan rumah.

Pemangku Raja bertitah, baginda sangat menyokong sebarang pelaburan oleh para pelabur yang percaya bahawa eko-pelancongan akan menjadi satu trend pelancongan di masa hadapan.

Akbal dalam taklimat beliau pula memaklumkan bahawa, antara yang menarik perhatian sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 adalah destinasi dan produk ekopelancongan yang ada di negeri tersebut seperti Wang Kelian, Gua Kelam, Bukit Keteri, Tasik Timah Tasoh serta lokasi strategiknya yang berdekatan dengan Langkawi serta Pulau Pinang. Negeri Perlis merupakan destinasi menarik untuk pengembaraan eko dan alam semula jadi.

“Kami sangat teruja untuk mempamerkan tarikan pelancongan yang indah dan unik di negeri Perlis sebagai langkah penting dalam meletakkan negeri ini sebagai destinasi baharu yang mesti dilawati di Malaysia untuk pelancong Amerika Syarikat, terutamanya bagi mereka yang melawat Pulau Pinang dan Pulau Langkawi.

“Perlis merupakan sebuah negeri di Utara Malaysia yang mempunyai bentuk muka bumi yang menarik dan keunikan tersendiri.” jelas beliau.

Tetamu yang hadir pada majlis itu turut dihidangkan dengan masakan istimewa berupa ‘Kurma Daging Perlis’ sempena ‘Promosi Makanan Perlis’ dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis serta beberapa lagi jenis masakan tradisional Malaysia yang lain.

Tourism Malaysia merekodkan lebih tujuh juta kemasukkan pelancong antarabangsa ke Malaysia pada 2022 dan menyasarkan 16.1 juta pula untuk kemasukkan pelancong antarabangsa yang melibatkan jumlah RM49.2 bilion dalam penerimaan industri pelancongan untuk tahun 2023 ini ke Malaysia.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.