Sunday, 30 July 2023

Lokasi rekreasi dan riadah berkonsepkan eko pelancongan perlu diperluas – MB

 

MOHD. Shukri Ramli (tiga dari kiri) merakamkan gambar bersama selepas Majlis Perasmian Fasiliti Pelancongan Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Mata Ayer, Padang Besar, Perlis.
-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

PADANG BESAR: Lokasi rekreasi dan riadah berkonsepkan eko pelancongan perlu diperluaskan serta ditambah baik bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di Perlis.

Malah, usaha itu juga berupaya meningkatkan kepekaan serta pemahaman penduduk tempatan berhubung kepentingan pemeliharaan hutan dan alam sekitar.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, bagi tujuan itu, pihaknya berharap agar Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Perhutanan negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dapat bersama-sama memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan perkara tersebut.

“Saya percaya dengan tersedianya kemudahan dan perkhidmatan profesional, orang awam khususnya kanak-kanak atau pelajar akan lebih berminat untuk mendekati persekitaran semula jadi dan ladang hutan,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Fasiliti Pelancongan Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Mata Ayer di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, selain penyediaan kemudahan, aktiviti-aktiviti yang ditawarkan buat pengunjung juga perlu mempunyai daya tarikan dengan menampilkan keunikan tersendiri.

Beliau berkata, kehadiran pengunjung yang menggalakkan secara tidak langsung akan mewujudkan peluang buat banyak industri kecil berasaskan kayu dan hasil hutan antaranya seperti kraftangan, cenderamata, bongsai, bunga-bungaan serta makanan.

“Justeru itu, peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan bagi penduduk tempatan juga dapat diwujudkan dalam bidang eko pelancongan di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, keunikan yang terdapat di Fasiliti Pelancongan SPF Mata Ayer juga perlu diterbitkan dan dihebahkan menerusi media elektronik mahu pun media cetak.

Katanya, penyediaan informasi dalam bentuk poster atau brosur berhubung aktiviti dan kemudahan fasiliti eko pelancongan yang terdapat di Denai Chenderai, Tapak Campervan Jati dan Chalet Kesinai perlu disediakan bagi memberi puang buat pengunjung melihat keistimewaan di Fasiliti Pelancongan SPF Mata Ayer.

“Selain itu, saya juga berharap pihak pengurusan dapat meletakkan papan tanda di pintu masuk agar stesen ini dapat dikomersialkan bagi mempromosikannya kepada orang ramai.

“Dan kerajaan negeri juga melihat stesen ini dapat dijadikan sebagai salah satu lokasi eko pelancongan bersempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 nanti,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.