Sunday, 9 July 2023

Cadang beruk kentoi maskot Tahun Melawat Perlis 2024

 


KANGAR: Beruk kentoi atau nama saintifiknya macaca arctoides yang hanya ditemukan di negeri ini wajar disaran menjadi maskot Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penyelidik beruk kentoi yang juga pengasas Perlis Nature & Wildlife, Syamil Abd. Rahman berkata, Perlis yang sememangnya menjadikan keindahan alam serta kekayaan biodiversitinya sebagai produk pelancongan dan pemilihan beruk kentoi sebagai maskot dilihat bertepatan dengan kempen promosi Tahun Melawat Perlis.

Menurut beliau, penduduk di negeri ini wajar berbangga kerana spesies ikonik itu jarang ditemukan di tempat lain dan semua pihak perlu mempunyai kesedaran menjaga kelestrian habitat hidupan liar secara bersama untuk memastikan spesies ini tidak pupus bagi tatapan generasi seterusnya.

“Ketika kempen Tahun Melawat Malaysia mula dilancarkan pada tahun 1990, orang utan bernama ‘Wira’ dijadikan maskot manakala bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 monyet Belanda terpilih sebagai maskot.

“Kedua-dua spesies primat tersebut dipilih mewakili keunikan flora dan fauna yang terdapat di bumi Malaysia untuk dikenali seluruh dunia. Begitu juga dengan pemilihan beruk kentoi sebagai maskot dan ia dilihat bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Perlis,” katanya.

Sebagai rekod, Syamil telah menerbitkan kertas saintifik bancian populasi beruk kentoi di Wang Kelian pada tahun 2019 bersama penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dianggarkan terdapat 176 ekor beruk kentoi menghuni Taman Negeri Perlis manakala anggaran 350 ekor selebihnya di sepanjang Banjaran Nakawan.

Hasil penyelidikan Syamil terhadap beruk kentoi sejak tahun 2017 itu juga membawa dia merentas sempadan negeri sehingga ke Thale Ban National Park, Thailand untuk memahami lebih lanjut mengenai sebaran habitat beruk Wang Kelian.

Menariknya, beruk kentoi disahkan tidak ditemukan di negara jiran itu meskipun berkongsi sempadan geografi.

Tambah Syamil, beruk kentoi hanya dapat ditemukan dengan populasi yang banyak di Wang Kelian sekali gus menjadikan spesies primat berkenaan endemik dan tidak ditemui di mana-mana tempat lain.

Katanya, kentoi mula disahkan penemuannya pada tahun 1992 oleh penyelidik WWF dan sejak itu ia tidak diberi kajian khusus selama hampir 27 tahun namun populasinya dilihat stabil kerana tidak berlaku fragmentasi habitat secara berleluasa.

“Beruk kentoi mempunyai ciri-ciri unik dan tersendiri dengan wajah berwarna merah, berbulu tebal serta banyak menghabiskan masa di atas tanah untuk sering dilihat berkeliaran mencari makanan di kawasan tumpuan pelancong, Wang Kelian View Point,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.