Saturday 15 July 2023

Pengiktirafan jenama popular bantu industri pelancongan

 

AMMAR Abd. Ghapar (tengah) menanam pokok sebagai simbolik pemuliharaan semasa majlis pelancaran Denai Konservasi di Maxwell Base Camp, Bukit Larut, Taiping. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL

TAIPING: Lembaga Pengalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) melihat pengiktirafan oleh jenama global terhadap lokasi di Malaysia mampu menaikkan populariti negara sebagai destinasi pelancongan.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar berkata, langkah jenama jam sukan lasak Suunto memberi anugerah Hab Hijau Serantau Suunto kepada kawasan riadah hutan di Bukit Larut, Maxwell Base Camp di sini antara perkembangan yang boleh menaikkan pelancongan Taiping serta Malaysia.

Beliau melihat penganugerahan tersebut boleh dijadikan strategi pemasaran menarik pelancong khususnya dari luar negara.

“Jenama ini mempunyai peminat yang tersendiri. Sudah pasti pengiktirafan sebegini menarik pelancong untuk melihat tempat ini,” katanya selepas majlis pelancaran Denai Konservasi di Maxwell Base Camp di sini hari ini.

Suunto Oy yang berpangkalan di Finland telah memberikan anugerah tersebut pada Mei lalu dan merupakan yang pertama oleh jenama itu di rantau Asia Tenggara.

Ammar berkata, kehadiran pihaknya ke pelancaran denai itu juga adalah sokongan berterusan yang diberikan dan yakin kemajuan industri pelancongan di Taiping dan negara akan terus berkembang.

“Taiping mempunyai banyak tarikan dari segi peninggalan sejarah dan kepelbagaian alam semula jadi. Pelancaran hari ini adalah satu lagi produk pelancongan yang ditawarkan,” katanya.

Beliau memuji pelancaran denai tersebut yang diusahakan oleh badan swasta, MMTF Consultant bagi menarik kumpulan pelancong yang gemarkan aktiviti meredah hutan.

“Perkembangan yang berlaku di Taiping ini boleh dijadikan contoh untuk membangunkan sektor pelancongan di tempat lain,” katanya.

Pihaknya yakin negara akan mencapai sasaran 16.1 juta pelancong asing tahun ini berdasarkan pencapaian 4.5 juta pelancong setakat suku pertama 2023.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.