Saturday 15 July 2023

Pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024

 


14 Julai 2023: Malam ini penuh gilang gemilang di Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Kuala Lumpur dilancarkan Tahun Melawat Melaka 2024 oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Turut dilancarkan ialah maskot Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 iaitu Tuah dan Teja. 

Kehadiran YAB Timbalan Perdana Menteri menaiki beca diikuti YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato' Seri Tiong King Sing, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar.

Pelbagai persembahan kebudayaan menunjukkan kepelbagaian masyarakat Melaka selain daripada persembahan artis terkenal tanah air seperti Dato hattan, Datuk Amy Search, Nabila Razali, Haziq Rosebi serta Briged Seni Melaka memukau ribuan hadirin. 

Malam ini cukup istimewa apabila lagu tema Tahun Melawat Melaka diperdengarkan buat kali pertama di hadapan para pengunjung Festival TMM 2024.

Dalam ucapan YAB Ketua Menteri mewakili Kerajaan Negeri Melaka, beliau menyasarkan kehadiran sekitar 18.7 juta pelancong dalam dan luar negara sempena TMM2024.

Beliau yakin kehadiran pelancong sempena TMM 2024 akan membantu negeri mencapai sasaran peningkatan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negeri itu kepada lima peratus.

Bagi merealisasikan sasaran itu, beliau memaklumkan pelbagai acara dan produk pelancongan baharu dirancang sepanjang tahun depan, yang antara lain dilaksanakan menerusi peruntukan berjumlah RM25 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

YAB Ketua Menteri Melaka turut mengumumkan pengisytiharan 20 Februari setiap tahun sebagai cuti umum di Melaka sempena pengisytiharan kemerdekaan Malaysia di bumi bersejarah itu.

-Tourism Melaka.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.