KATHRYN LEE (tiga dari kiri) bersama ahli jawatankuasa Pameran MATTA Johor dalam sidang akhbar di Hotel Amari, Johor Bahru. |
JOHOR BAHRU: Rakyat China dijangka kembali menjadi penyumbang utama bagi sektor pelancongan negara pasca pandemik Covid-19.
Timbalan Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor, Kathryn Lee berkata, rakyat republik itu kembali mengunjungi negara ini selepas kerajaannya membuka semula sempadan antarabangsa sejak Januari lalu.
“Selain itu, China juga masih merupakan antara destinasi antarabangsa yang menjadi pilihan utama rakyat negara ini untuk melancong, selain Taiwan, Korea Selatan dan Jepun,” katanya dalam sidang akhbar sempena penganjuran Pemeran MATTA Johor di Hotel Amari, di sini hari ini yang turut dihadiri bekas Pengerusi MATTA Johor, Kenny Ngi.
Kathryn memberitahu, pihaknya akan menganjurkan Pameran MATTA Johor di dua lokasi, iaitu di Batu Pahat pada 22 dan 23 Julai ini dan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), di sini selama tiga hari bermula 4 Ogos depan.
“Untuk pameran MATTA Johor di AICC kali ini, kita menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM10 juta melibatkan pelbagai pakej pelancongan domestik dan antarabangsa.
“Sebanyak 103 ruang pameran disediakan melibatkan kira-kira 50 pempamer termasuk agensi pelancongan negeri seperti Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Lembaga Pelancongan Sabah dan Unit Pelancongan Kuala Lumpur,” katanya.
Selain hadiah cabutan bertuah, pihaknya turut mengadakan pertandingan fotografi dan video yang menawarkan hadiah tiket penerbangan.
Justeru, orang ramai dialu-alukan mengunjungi pameran tersebut bagi mendapatkan pakej pelancongan menarik dan kemasukan adalah percuma.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.