Tuesday, 18 July 2023

Tourism Pahang sasar lahir 100 Pengurus Media Sosial Profesional

 


KUANTAN: Tourism Pahang menyasarkan melahirkan lebih 100 Pengurus Media Sosial Profesional menerusi program Millennial Media Training 2023 yang julung kali diadakan.

Program ini merupakan kerjasama Tourism Pahang dengan Volt On Sdn. Bhd. bagi mewujudkan sinergi dalam kalangan peserta industri pelancongan Pahang untuk bekerjasama meluaskan promosi pelancongan negeri di media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man berkata, Volt On menerusi cabang latihan korporatnya, Millennial Media Hub, akan menyediakan strategi dan latihan menguruskan aset media sosial peserta industri secara profesional supaya promosi pelancongan Pahang dapat digerakkan secara strategik.

“Inisiatif ini dapat menggerakkan peserta industri pelancongan secara strategik sekali gus mampu memastikan promosi produk pelancongan Pahang dapat diperluaskan kepada pengguna Media Sosial di luar negara,” kata ketika dihubungi di sini hari ini.

Yu Man berkata, data kedatangan pelancong ke Pahang 2022 jelas menunjukkan pelancong Domestik kekal menjadi penyumbang terbesar sebanyak 9,712,868 juta orang.

“Data Tinjauan Pelancongan Domestik 2021 turut menunjukkan, majoriti pelancong domestik ke Pahang ini adalah berusia 25 hingga 39 tahun iaitu golongan aktif pengguna Media Sosial.

“Justeru, selari dengan sasaran kerajaan negeri untuk menarik 13 juta pelancong tahun ini, maka wajarlah kita mulakan usaha memperkasakan promosi platform media sosial dikalangan peserta pelancongan di negeri ini,” katanya.

Menurutnya lagi, usaha menggerakkan peserta industri pelancongan secara strategik ini juga mampu memastikan promosi produk pelancongan Pahang dapat diperluaskan kepada pengguna Media Sosial di luar negara.

Pengurus Besar Volt On, Che Wan Badrul Alias pula berkata, inisiatif itu dirancang bertujuan mewujudkan gelombang kandungan media sosial yang mempromosikan Pahang sebagai destinasi pelancongan utama menjelang 2025.

Tambahnya, peserta kursus akan dilengkapi dengan pengurusan media sosial secara strategik, kemahiran membangunkan kandungan berimpak, serta meneroka potensi menjana pendapatan baharu menerusi Sosial Commerce.

“Millennial Media Hub juga sinonim dengan keupayaan Cyber Troopers Korporat kami yang berkepakaran dalam operasi cyber intelligences dan analisis metadata, kelebihan ini kami kongsikan menerusi analisis data pelancongan untuk merangka strategi pemasaran peserta.

“Strategi melahirkan lebih 100 pengurus media sosial professional ini bakal mewujudkan sinergi antara peserta industri untuk mempromosikan Pahang sebagai destinasi pelancongan secara menyeluruh dan bukan lagi hanya mempromosikan produk mereka sahaja,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.