Monday 1 August 2022

Sarawak sasar 200 ribu pelancong Brunei dalam tempoh lima bulan

 


MIRI: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menyasarkan sebanyak 200,000 pelancong Brunei memasuki Sarawak dalam tempoh lima bulan.

Tempoh tersebut diambil kira mulai pembukaan sempadannya pada hari ini (1 Ogos) hingga ke penghujung tahun ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, beliau yakin dengan sasaran kemasukan pelancong Brunei yang masuk ke Sarawak kerana ramai pelancong Brunei mempunyai urusan di Sarawak.

“Pembukaan sempadan ini sudah semestinya akan memberikan banyak manfaat kepada Sarawak dari segi pelancongan mahupun kegiatan ekonomi antara dua buah negara.

“Malah ada juga warganegara Brunei yang mempunyai sanak-saudara di Sarawak menjadikan mereka ingin melakukan perjalanan kunjung berkunjung selepas dua tahun tidak berjumpa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya lagi, warganegara Malaysia yang telah lama menetap di negara Brunei Darussalam ingin pulang ke tanah air turut menyumbang kepada kemasukan ke negeri Sarawak.

“Sebelum pandemik Covid-19 (2018 hingga 2019), Sarawak telah mencapai lebih 1 juta pelancong Brunei yang keluar dan masuk di sempadan itu.

“Justeru, bagi melihat kerancakan ini, kita di kementerian akan turut merancang aktiviti pelancongan tahunan yang berpotensi untuk menarik pelancong domestik mahupun antarabangsa,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menggesa agar pelancong asing mahupun warga tempatan yang masuk dan keluar melalui sempadan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan terus mematui prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan agar wabak Covid-19 tidak menular dan menjejaskan ekonomi negara.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.