Sunday, 14 August 2022

MAEPS akan menjadi tarikan pelancong

 


SERDANG: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengambil pendekatan dalam memastikan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) tidak ‘sepi’ selepas Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, MAEPS akan dijadikan sebagai tapak kekal untuk mempromosikan sektor agropelancongan negara.

Menurut beliau, pavilion-pavilion yang ada di laman negeri akan dikekalkan sebagai tarikan pelancong.

“Kita ingin melihat MAEPS ini tidak akan lesu dan berdiam selepas MAHA 2022 tetapi dijadikan tapak kekal untuk mempromosikan sektor agropelancongan negara.

“Kita ada rumah kekal, pavilion-pavilion negeri yang boleh dijadikan oleh kerajaan negeri untuk mempromosikan produk atau pencapaian yang ada dalam negeri-negeri ke MAEPS dan menjadi tarikan pelancong,” katanya dalam sidang media selepas majlis penutupan MAHA 2022.

MAHA 2022 yang berlangsung selama 11 hari bermula 4 Ogos lalu menerima kunjungan seramai 1.4 juta secara fizikal dan maya, pameran yang kembali selepas sekian lama terhenti disebabkan penularan Covid-19 berjaya mengumpul jualan sebanyak RM260 juta.

Sementara itu, Ronald turut memaklumkan laman padi akan menjadi anak angkat kepada MAFI melalui Bahagian Pembangunan Industri Padi bersama Padi Beras Nasional Berhad (Bernas).

“Bernas akan menganak angkatkan laman padi untuk ditanam setiap kali, ia juga akan menjadi tarikan pelancong ke MAEPS.

“Kita melihat ini sebagai sesuatu yang perlu diambil dan jadikan tapak MAEPS sebagai tapak kekal untuk mempromosikan aktiviti pertanian sepanjang tahun bukan ketika MAHA dilaksanakan,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.