SANDAKAN, 3 OGOS 2022 – Tourism Malaysia hari ini
melancarkan risalah pelancongan bertemakan gastronomi yang menyenaraikan
restoran-restoran makanan laut di Sabah dengan turut memaparkan produk-produk
pelancongan utama di sekitar Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Lahad Datu,
Semporna, Tawau dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Dinamakan sebagai Sabah & Labuan ‘SeeEatFood’
Trail Fun Map, inisiatif tersebut merupakan salah satu usaha bagi menarik
pelancong ke Sabah dan Labuan yang terkenal sebagai syurga makanan laut ekoran
kedudukan geografinya dikelilingi oleh perairan Laut China Selatan, Laut
Sulawesi dan Laut Sulu sekali gus memberi kelebihan dari segi penangkapan serta
penjualan hasil laut segar pada harga lebih murah.
Cik Ednie Rahma Ab. Rahim, Pengarah Tourism Malaysia Sabah berkata, pelancongan gastronomi merupakan salah satu komponen utama dalam pelancongan domestik yang wajar diberi fokus di Sabah setanding dengan kekayaan warisan budayanya selain produk-produk ekopelancongan termasuk pulau-pulau serta khazanah hidupan liar dan alam semula jadi.
“Dengan penerbitan risalah Sabah & Labuan
‘SeeEatFood’ Trail Fun Map ini, ia diharap dapat menjadi rujukan kepada
pelancong-pelancong yang berkunjung ke Sabah dan Labuan bagi memudahkan mereka
membuat pilihan untuk menikmati sajian makanan laut di restoran-restoran yang
tersenarai.
“Pengguna telefon pintar hanya perlu mengimbas kod
QR bagi mendapatkan risalah ini secara digital sama ada di laman sesawang
Tourism Malaysia di www.malaysia.travel,
akaun Facebook Tourism Malaysia Sabah
atau di Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kota
Kinabalu,” katanya.
Majlis pelancaran risalah tersebut diadakan
bersempena lawatan suai kenal (FAM Trip) selama empat hari tiga malam ke
Sandakan bermula 31 Julai lalu melibatkan 26 peserta terdiri daripada 12 wakil
media, lima agensi pelancongan dari Persatuan Pelancongan Sabah serta
pegawai-pegawai dari Tourism Malaysia, Malaysia Airlines dan MASwings.
Pada sesi lawatan tersebut, para peserta dibawa
menjejaki Sandakan Heritage Trail selain menerokai produk-produk pelancongan
terkenal sekitar Sandakan seperti Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok,
Rainforest Discovery Centre, Bornean Sun Bear Conservation Centre, Miso Walai
Homestay dan Sungai Kinabatangan.
-Tourism Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.