Monday 8 August 2022

Sasar sektor kebudayaan sumbang RM300 juta

 


MELAKA: Sektor kebudayaan diramal dapat menyumbang kepada pendapatan negara sebanyak RM300 juta bagi tahun ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar berkata, sektor berkenaan menunjukkan prestasi amat baik sepanjang 2019 apabila menyumbang sebanyak RM585 juta kepada pendapatan negara.

Bagaimanapun, menurutnya, pada 2020, pendapatan sektor tersebut menyusut kepada RM241 juta disebabkan penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

“Bagaimanapun, pendapatan sektor kebudayaan kembali meningkat sebanyak RM20 juta kepada RM261 juta pada 2021.

“Sektor ini walaupun berdepan dengan cabaran getir sewaktu penularan Covid-19, namun, saya percaya jumlah pendapatan akan terus meningkat pada 2022 dan mengikut sasaran sebanyak RM300 juta,” katanya ketika berucap pada Malam Gala Magic Of The Night 2022 di Dataran Sungai Melaka, Bandar Hilir, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Santhara berkata, kementeriannya menyasarkan perolehan pendapatan sebanyak RM11.1 bilion dengan jangkaan kedatangan 4.5 juta pelancong antarabangsa ke negara ini sehingga hujung tahun ini.

Tegasnya, pelbagai strategi serta inisiatif telah dan sedang diambil oleh seluruh jabatan serta agensi bagi menarik kedatangan pelancong luar negara .

“Antara langkah yang dilakukan ialah menyokong pemulihan perniagaan pelancongan dan kebudayaan.

“Perkara paling penting ialah memulihkan keyakinan pelancong dan memastikan kelancaran perjalanan antarabangsa dan intra-rantau, mencipta semula dan memperkasa produk atau perkhidmatan pelancongan dan kebudayaan,” ujarnya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.