Sunday, 7 August 2022

Inflasi tidak jejas kehadiran pelancong ke Langkawi

 

PEMAIN industri pelancongan Langkawi mengadakan sesi perjumpaan dengan agensi pelancongan Johor dan Singapura di Hotel Amari, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU: Kejatuhan nilai mata wang dan kenaikan harga barangan asas di negara ini diyakini tidak akan menjejaskan sektor pelancongan pulau Langkawi yang kembali rancak selepas negara memasuki fasa peralihan endemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, ini kerana sektor pelancongan pulau tersebut menawarkan pelbagai pakej termasuk mampu milik, contohnya serendah RM500 bagi sebuah keluarga kecil menikmati percutian dua hari satu malam di sana.

“Inflasi dan kejatuhan nilai mata wang ketika ini tidak menjejaskan langsung pelan domestik ke Langkawi sebaliknya turut beri galakan kepada pelancong antarabangsa termasuk dari Singapura untuk bercuti di Langkawi.

“Hal ini dapat dilihat apabila jumlah penerbangan terus ke Langkawi dari Johor Bahru ditambah daripada empat menjadi tujuh penerbangan seminggu manakala dari Singapura terdapat lapan penerbangan terus seminggu.

“Pelancong dari Singapura misalnya, tidak mempunyai masalah untuk membayar harga perkhidmatan premium untuk mendapatkan pakej pelancongan terbaik meliputi pelbagai aspek termasuk penginapan hotel bertaraf lima bintang,” katanya selepas menghadiri Program Tourism Networking Bersama Pemain Industri Pelancongan Langkawi di Hotel Amari, di sini.

Nasaruddin berkata, Langkawi berada pada landasan tepat untuk merekodkan jumlah kehadiran seramai 2.5 juta pelancong domestik dan antarabangsa pada tahun ini.

“Sejak Januari hingga Julai, Langkawi merekodkan kehadiran seramai 1.4 juta pelancong dan kita sasarkan menjelang Disember ini, seramai 2.5 juta pelancong akan hadir dengan 85 peratus daripada pasaran domestik.

“Cabaran yang kita hadapi ketika ini adalah untuk meningkatkan kehadiran pelancong antarabangsa dan salah satu cara adalah dengan menggiatkan promosi bagi pasaran Singapura dengan golongan sasar bukan hanya melibatkan rakyat republik berkenaan, malah pelancong yang datang ke republik itu,” ujarnya.

Pada tahun 2019, Langkawi merekodkan kehadiran 3.9 juta pelancong, sebelum jumlah itu turun pada tahun 2020 dan 2021 dengan rekod kehadiran seramai 1.8 juta dan 1 juta akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Tourism Malaysia di Singapura, Fiona Estrop memberitahu, Langkawi mampu menjadi salah satu tarikan pelancongan utama bagi rakyat republik berkenaan sekiranya syarikat penerbangan komersial melibatkan diri dalam laluan terus antara kedua-dua destinasi.

“Pada waktu ini, penerbangan terus antara Singapura dan Langkawi hanya melibatkan syarikat penerbangan tambang murah dan itu menjadi antara faktor mengapa Langkawi tidak menjadi destinasi pilihan utama,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.