PUTRAJAYA 4 Jan. – Pemilik rangkaian hotel jenama antarabangsa terkenal, Dorsett Hotel and Resorts International bakal membuka cawangan baharu di sini pada pertengahan bulan ini.
Hotel Dorsett Putrajaya itu yang merupakan cawangan ke-22, telah siap dibina dalam tempoh dua tahun di Presint 3 di sini bakal menawarkan pengalaman penginapan bercirikan moden dan unik.
Menurut Pengurus Besar Hotel Dorsett Putrajaya, Alfred Paulsen, pelancaran hotel tersebut secara rasmi pada 16 Januari ini bakal memberikan lebih banyak pilihan kepada pengunjung di Putrajaya untuk memilih tempat penginapan mengikut citarasa masing-masing.
“Hotel ini akan mengetengahkan konsep moden dan mengikut perkembangan semasa terutamanya dalam hiasan bilik, lobi dan ruang tamu.
“Selain itu, di tingkat bawah hotel ini turut disediakan sebuah pasar raya dan restoran bagi memberi kemudahan kepada pengunjung untuk membeli-belah dan menikmati pelbagai juadah makanan tanpa perlu pergi ke tempat yang jauh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurut Paulsen, hotel tersebut yang siap dibina dengan kos sebanyak RM60 juta turut memiliki pelbagai kemudahan lain antaranya gimnasium, spa, bilik persidangan, dewan dan kolam renang berkonsep infiniti.
Paulsen berkata, sebanyak 218 bilik ditawarkan oleh hotel setinggi sembilan tingkat itu antaranya Dorsett, deluxe, deluxe balconi, suite dan menteri.
Tambahnya, lokasi strategik hotel tersebut yang terletak di tengah-tengah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu juga bakal memberi kemudahan kepada pengunjung yang mempunyai urusan di pejabat kerajaan.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya menyasarkan perolehan sebanyak RM30 juta bagi tahun pertama operasi hotel tersebut di sini.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti dan acara berstatus tempatan dan antarabangsa di Putrajaya seperti penganjuran aktiviti Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya, kejohanan Ironman dan kedatangan bulan Ramadan bakal memberi sumbangan utama kepada sasaran tersebut.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.