Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, bagi mencapai sasaran itu, pihaknya merancang membuka beberapa lagi laluan antarabangsa terus ke Langkawi pada masa akan datang iaitu dari Hong Kong, Jakarta, Bangkok, Shanghai dan Shenzen.

“Matlamat kami adalah memastikan tiga juta pelancong dalam tempoh lima tahun sebagai tambahan kepada 1.6 juta yang datang sepanjang 2015.

“Kami mahu memastikan lima buah kapal beroperasi di sini untuk membawa lebih ramai pelancong ke Langkawi dan Kedah,” katanya ketika berucap pada majlis menyam­but ketibaan sulung penerbangan Air­Asia bagi laluan Langkawi - Guangzhou, China di Kompleks Lang Merah, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAT) di sini hari ini.

Sambutan pesawat yang tiba tepat pukul 10.05 pagi ini dengan kapasiti penumpang sebanyak 92 peratus diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad.

AirAsia merupakan syarikat pe­nerbangan terbesar di Langkawi dengan penguasaan pasaran seba­nyak 65 peratus, manakala laluan ber­kenaan adalah yang kedua dari luar negara terus ke Langkawi selepas Singapura.

Menurut Fernandes, AirAsia percaya sektor pelancongan Langkawi perlu terus diperkasakan kerana potensinya menerima pengunjung yang ramai setiap tahun terutama dari negara China.

“Sebagai promosi, kami menawarkan tambang murah iaitu RM199 sehala bagi tempahan bermula 25 Januari hingga 7 Februari untuk perjalanan antara 25 Januari hingga 2 Mei depan,” katanya.