IPOH 16 Mei - Pengarah Tourism Perak yang baharu, Ahmad Kamarudin Yusoff berazam memberi perkhidmatan terbaik bagi menjadikan negeri ini destinasi pelancongan utama negara.
Ahmad Kamarudin berkata, untuk mencapai matlamat tersebut, beliau berharap semua pihak dapat bekerjasama dan mainkan peranan lebih aktif terutama dalam urusan mempromosikan Perak di luar negara. Menurut beliau, antara usaha sedang dilakukan Tourism Perak dengan kerjasama agensi pelancongan ketika ini termasuklah menganjurkan famtrip Pulau Jarak di Bagan Datoh dekat sini untuk mewujudkan pakej memancing.
"Selain itu, pakej Bike Ride kita juga telah mendapat liputan meluas dan terpilih untuk dimasukkan ke dalam penerbitan risalah 1,001 pakej untuk pasaran domestik dan antarabangsa. Kita juga mempunyai World Drum and Percussion Festival, MATTA Fair dan program inap desa.
"Tourism Malaysia juga baru selesai sesi penggambaran gambar pegun di seluruh Perak. Gambar-gambar berevolusi tinggi ini akan digunakan sebagai bahan promosi di dalam dan luar negara," katanya ketika berucap dalam majlis suai kenal bersama penggiat industri pelancongan negeri Perak di sini semalam.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Musa Don.
Ahmad Kamarudin turut memohon agensi pelancongan memperbanyakkan pakej yang ditawarkan untuk pelancong. Pada masa yang sama, beliau juga meminta kerjasama masyarakat setempat memaklumkan kepadanya jika terdapat produk-produk baharu boleh diketengahkan di kawasan masing-masing.
"Semenangnya untuk menjadikan Perak destinasi pelancongan utama kita tidak boleh hanya duduk diam dan berharap ia terjadi sendiri. Sebaliknya kita perlu bergerak dalam mempromosikan terutama dengan mengadakan jualan-jualan pakej sama ada secara terus atau melalui internet.
"Pengalaman yang saya ada ketika di unit latihan terutama dalam bidang pemasaran pelancongan strategik dan penjenamaan akan digunakan untuk membawa perubahan dan meningkatkan ekonomi masyarakat setempat di negeri ini," katanya.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.