Thursday, 20 September 2012

Perkhidmatan bas KL-Putrajaya setiap Ahad

PUTRAJAYA 19 Sept. - Perbadanan Putrajaya (PPj) akan menyediakan perkhidmatan bas antara Kuala Lumpur dan Putrajaya pada setiap Ahad bagi menarik lebih ramai pelancong ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Presidennya, Tan Sri Aseh Che Mat berkata, selain dapat memanfaatkan bas-bas Nadi Putra yang tidak beroperasi pada cuti hujung minggu, langkah itu juga dapat mempromosi destinasi menarik di Putrajaya kepada pelancong asing dan tempatan.


Katanya, mengikut perancangan awal, bas tersebut akan ditempatkan di Dataran Merdeka dan jika mendapat sambutan, perkhidmatan itu akan disediakan setiap Sabtu dengan kekerapan sejam sekali mengikut permintaan.


"PPj juga sedang merancang untuk menyediakan perkhidmatan bas Nadi Putra kepada komuniti di sekitar Kuala Lumpur untuk melawat Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. 
"Saya juga dimaklumkan sebelum ini Putrajaya hanya mendapat tumpuan pada hari-hari bekerja dan tidak ada orang pada Sabtu dan Ahad. Jadi dengan perancangan baru ini akan memeriahkan lagi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Aseh mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab untuk membincangkan kaedah terbaik menarik pelancong asing dan tempatan ke Putrajaya. Menurut Aseh, PPj kini mengambil langkah tersendiri dengan menghantar sebilangan kakitangannya mengikuti kursus pemandu pelancong di Melaka.


"Langkah ini amat bertepatan kerana dengan mempunyai pemandu pelancong sendiri saya yakin mampu memperkasakan lagi perkhidmatan yang disediakan PPj kepada pelancong. 
"Ketika ini PPj menyediakan lawatan berpandu percuma kepada pengunjung pada setiap Sabtu dan Ahad di mana orang ramai hanya perlu membayar tambang bas RM1 untuk menyertai sesi lawatan ke tempat-tempat menarik di sini," katanya.
-thestar online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.