ALOR SETAR, 30 April 2025 – Tourism Malaysia hari ini menganjurkan Sesi Libat Urus bersama para penggiat industri pelancongan negeri Kedah dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik ke arah menjayakan perencanaan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Kedah menjadi negeri ketiga bagi penganjuran sesi tersebut di Zon Utara selepas inisiatif berkenaan mula digerakkan pada awal tahun ini di beberapa buah negeri seperti di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis. Program berkenaan juga merupakan kesinambungan kepada pelancaran logo, lagu, video promosi dan maskot rasmi VM2026 yang telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pada 6 Januari lalu.
Selain menjadi medan perkongsian untuk membincangkan pelan strategik ke arah menjayakan VM2026, terdapat juga beberapa siri pembentangan melibatkan Geran Galakan Melancong (GAMELAN), Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa dan Charter (GSPC) dan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) oleh Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta sesi bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Jabatan Warisan Negara dan Islamic Tourism Centre (ITC).
Program dirasmikan oleh YBrs. Encik Junaidi Abdul Rani @Abdul Ghani, Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah dan turut dihadiri oleh Encik Shahrin Mokhtar, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia. Hadir sama ialah wakil-wakil daripada agensi kerajaan, persatuan pelancongan, syarikat penerbangan, pengusaha hotel, pengendali produk pelancongan dan ejen pelancongan tempatan.
Encik Shahrin berkata, seiring dengan aspirasi VM2026 yang menyasarkan ketibaan pelawat berpendapatan tinggi selain mempromosikan kebudayaan serta kelestarian sektor pelancongan negara, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diperlukan bagi menjayakan kempen tersebut.
“Pada tahun
2025, Malaysia menyasarkan ketibaan pelawat asing seramai 45.0 juta dengan
pulangan hasil pelancongan sebanyak RM270 bilion. Setakat Februari 2025,
seramai 6.7 juta ketibaan pelawat asing direkodkan melibatkan peningkatan
sebanyak 31.3% berbanding tempoh sama pada tahun 2024 dan kenaikan 14.5%
berbanding tempoh sama pada tahun 2019 (sebelum pandemik).
“Perkembangan positif ini juga merupakan rentetan daripada rekod ketibaan 38 juta pelawat asing ke Malaysia pada tahun 2024 yang menyaksikan lonjakan sebanyak 31.1% berbanding tahun 2023 dengan peningkatan sebanyak 8.3% berbanding tahun 2019,” katanya.
-Tourism Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.