Friday, 9 May 2025

Tourism Malaysia Anjur Libat Urus Industri Pelancongan Pulau Pinang Bagi TMM2026

 

PULAU PINANG, 5 Mei 2025 – Tourism Malaysia terus mempergiat usaha memperkukuh ekosistem pelancongan negara melalui sesi libat urus bersama para pemain industri yang diadakan hari ini di Iconic Marjorie Hotel, Bayan Lepas, Pulau Pinang, sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026). 

Merupakan siri kesebelas daripada rangkaian sesi libat urus yang telah diadakan di beberapa negeri sebelum ini, program kali ini memberi tumpuan kepada penyelarasan strategi promosi serta memperkukuh kerjasama merentas sektor bagi memastikan penyertaan aktif daripada pihak industri dalam menjayakan TMM2026. 

Majlis disempurnakan oleh YBhg. Dato' Yeoh Soon Hin, Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, dengan kehadiran YB Tuan Wong Hon Wai, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang, serta Encik Shahrin Mokhtar, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, bersama barisan wakil agensi kerajaan, syarikat penerbangan, pengusaha hotel, pengendali produk pelancongan dan pemain industri tempatan. 

YBhg. Dato' Yeoh Soon Hin berkata, tema kempen TMM2026, Malaysia: Destinasi Lestari dan Kaya Budaya mencerminkan komitmen negara dalam mengekalkan daya tarikan pelancongan yang mesra alam dan berteraskan budaya. 

“Pulau Pinang memiliki keistimewaan tersendiri sebagai destinasi pelancongan dengan nilai sejarah, budaya dan komuniti majmuk yang saling melengkapi. Pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO turut memperkukuh kedudukannya sebagai antara destinasi tumpuan bagi pelancongan berasaskan budaya dan kelestarian menjelang TMM2026,” katanya. 

Tambah beliau, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta di Pulau Pinang diyakini mampu memperkukuh lagi ekosistem pelancongan negeri, khususnya dalam memperkenalkan lebih banyak produk pelancongan baharu, memperluas capaian pasaran, serta meningkatkan kemudahan dan kualiti perkhidmatan pelancongan ke arah pengalaman pelawat yang lebih bermakna dan berkualiti. 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga komited dalam mempertingkatkan prasarana pelancongan, di samping menyokong inisiatif pelancongan hijau dan digital yang inklusif. Usaha ini merangkumi program pemuliharaan warisan serta penganjuran pelbagai acara kebudayaan berimpak tinggi yang mampu menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara. Dengan sokongan padu daripada semua pihak, Pulau Pinang bersedia memainkan peranan penting dalam menjayakan TMM2026, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan unggul yang lestari dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.