Tuesday, 6 May 2025

Gamuda Cove perkenal tarikan alam sekitar baharu, bakal bina zoo

 

Wai Lune (tiga dari kanan) bergambar bersama Ketua Dream Maker of Enfiniti Escapes, Puan Sri Tiara Jacquelina (dua dari kiri); Timbalan Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Hasnan Yusop (tiga dari kiri) dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat, Mohd Hasry Nor Mohd (empat dari kanan) ketika Majlis Menandatangani MoU antara GL Play dan empat syarikat di Dengkil, hari ini - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

DENGKIL: GL Play, cabang riadah dan hospitaliti Gamuda Land menandatangani empat memorandum persefahaman (MoU) dengan Enfiniti Escapes (M) Sdn Bhd, One Universal Production Sdn Bhd (OUP), Wonderful Wildlife & Recreation Management Sdn Bhd (WWRM), dan Seven Evernew PLT bagi membangunkan Gamuda Cove sebagai tempat perlindungan alam semula jadi serta bandar pintar.

Kerjasama itu bakal memperkenalkan pengalaman hidupan liar, dua resort eko mewah serta taman permainan dalaman khas untuk kanak-kanak ke beberapa lokasi di Gamuda Cove, termasuk kawasan seluas 1,111 ekar di Paya Indah Discovery Wetlands (PIDW), 90 ekar di Wetlands Arboretum dan juga The Hive.

Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Chu Wai Lune, berkata semua projek dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun 2026 dan merupakan sebahagian daripada objektif syarikat untuk memberikan kehidupan yang sejahtera kepada masyarakat.

"Penambahan ini juga akan melengkapi tarikan sedia ada seperti SplashMania dan Discovery Park bagi menawarkan keseronokan terutama untuk pencinta alam semula jadi.

"Dengan kerjasama WWRM, zoo baharu akan dibina dengan tumpuan kepada pemuliharaan, pendidikan dan kebajikan haiwan, menampilkan hampir 90 spesies mamalia, burung dan reptilia termasuk spesies eksotik seperti 'Bat-eared Fox' dan burung kakak tua 'Black Palm Cockatoo'," katanya ketika di majlis menandatangani MoU itu, di sini, hari ini.

Selain itu, Wai Lune berkata, Enfiniti Escapes akan memperkenalkan penginapan eko mewah di mana tetamu boleh menikmati alam semula jadi dalam suasana yang selesa.

"OUP pula akan mengubah suai chalet lama menjadi penginapan moden dan lestari manakala TiniTin Town akan membuka taman permainan dalaman yang menyeronokkan di The Hive, sesuai untuk keluarga dengan anak kecil," katanya.

Beliau berkata, dengan tarikan baharu itu, kerjasama ini akan menarik lebih ramai pelawat dan penduduk sekali gus membantu merancakkan kawasan komersial dan mewujudkan sebuah perbandaran yang selesa.

Katanya, seiring dengan perkembangan Gamuda Cove, semua penawaran itu akan membantu mencipta pengalaman perbandaran yang lebih meriah, menarik kunjungan pelawat dan aktiviti komersial yang akan menyokong perniagaan di pusat komuniti bandar dan pusat runcit Cove Centrum yang bakal dibuka.

"Sama ada melalui pelancongan atau lawatan hujung minggu keluarga, tarikan baharu ini akan menyuntik kehidupan ke ruang awam dan ekosistem komersial dalam perbandaran ini.

"Kami juga bekerjasama dengan Dusit International untuk hotel yang bakal dibuka, Taylor's Education Group untuk bidang pendidikan, dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk usaha pemuliharaan di Paya Indah Discovery Wetlands.

"Dengan rakan strategik yang kukuh, kami dapat menjadikan Gamuda Cove sebuah tempat yang bukan sahaja dihuni, tetapi juga diterokai dan berkembang bersama," katanya.

Beliau menjangkakan sekitar 1.5 juta pengunjung setiap tahun, manakala harga tiket akan ditawarkan pada kadar yang berpatutan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

"Salah satu tarikan paling menarik dalam inisiatif ini ialah zoo di mana ia merupakan pengalaman safari pandu lalu yang jarang ditawarkan di Malaysia. Jadi, kami merancang untuk memperkenalkan konsep safari pandu lalu ini. 

"Pada peringkat awal, safari ini akan menggunakan model 'put-in-time' di mana pengunjung boleh melihat haiwan sepanjang perjalanan sebelum tiba di kawasan zoo dan kami berharap ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat," katanya.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.