Friday, 27 December 2024

Melaka terus kerjasama dengan Media Prima promosi WTD, WTC tahun depan - Ab Rauf

 

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada sidang media di Seri Negeri Ayer Keroh, hari ini. - NSTP/AMIR MAMAT

AYER KEROH: Kerajaan negeri akan meneruskan kerjasama strategik dengan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) dalam penganjuran Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ia susulan pemilihan Melaka sebagai tuan rumah kepada dua acara berprestij itu yang dijadual diadakan September tahun depan.

"Sudah pasti kita akan meneruskan kerjasama dengan MPB sebagai rakan media rasmi bagi acara berkenaan kerana kerajaan negeri amat berpuas hati dengan komitmen konglomerat media sepanjang penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).


"Saya menegaskan, MPB berjaya membantu Melaka mempromosikan TMM2024 dan kita mendapat pulangan yang baik menerusi kedatangan pelancong yang ramai.

"Justeru saya harap tahun depan MPB sekali lagi dapat memberikan kerjasama dalam mempromosikan Melaka sebagai tuan rumah WTD dan WTC.... pastinya kerjasama itu akan diteruskan lagi," katanya pada sidang media selepas membentangkan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2025 (Bajet) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, di sini hari ini.

Tahun lalu, kerajaan negeri Melaka menjalinkan kerjasama strategik dengan MPB yang dilantik sebagai rakan media rasmi TMM2024.

Pemilihan berkenaan susulan pengiktirafan MPB sebagai syarikat konglomerat media terbesar dan berpengaruh di negara ini.

Ia juga berdasarkan pengalaman dan kepakaran MPB yang mempunyai operasi bersepadu termasuk rangkaian televisyen, akhbar, radio dan pengiklanan digital, secara tidak langsung membantu kerajaan negeri mempromosikan kempen TMM2024.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri akan melanjutkan Tahun Melawat Melaka (TMM) untuk tempoh dua tahun lagi sehingga 2026.

Beliau berkata, langkah itu sejajar pemilihan Melaka sebagai tuan rumah WTD dan WTC tahun depan dan disusuli Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

"Bagi mengekalkan momentum semangat TMM2024, kerajaan negeri bersetuju mengekalkan slogan keramat 'Mana Lagi...Melaka Lerr' yang semakin popular," katanya.

Mengulas sektor pelancongan negeri, Ab Rauf berkata, Melaka terus 'mendunia' dengan menganjurkan pelbagai aktiviti melalui 14 sub sektor pelancongan dengan 64 acara sepanjang tahun hadapan.

Katanya, antara aktiviti itu termasuklah Pengkisahan Detik Kemerdekaan Bersama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Teater Kegemilangan Melaka, Melaka International Mountain Bike Jamboree, Pesta Pantai Melaka dan Melaka International Travel Mart.

Sempena kehadiran penganjuran WTD dan WTC di Melaka pada September tahun depan, kerajaan negeri turut menawarkan diri sebagai tuan rumah pelancaran VM2026.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.