UNIK, superlatif serta terbaik di kepulauan Borneo, ungkapan jurupandu, Henry Lah Lucin bagi menggambarkan keistimewaan Taman Negara Gunung Mulu di Bumi Kenyalang.
Terletak di Bahagian Miri, Sarawak, Taman Negara Gunung Mulu, juga dikenali sebagai Taman Negara Mulu diwartakan sebagai Taman Negara Sarawak pada 1974 sebelum diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2000.
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), superlatif merujuk
kepada istilah paling atau darjah tertinggi, sekali gus menjelaskan keunikan
taman terbesar di Sarawak yang bermula puluhan juta tahun lalu di bawah laut,
menjadikannya destinasi purba yang mengagumkan.
Peluang meneroka Taman Negara Mulu selama empat hari anjuran
Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) bukan sahaja memberikan pengalaman berharga
kepada penulis tetapi turut meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan
memelihara alam sekitar dan menghargai keunikan warisan alam semula jadi di
Malaysia.
Menerusi
program 'Exploring Mulu Sarawak', penulis dibawa meneroka taman yang meliputi
kawasan kira-kira 544 kilometer persegi. Taman ini antara lima Tapak Warisan
Dunia di Malaysia selain Warisan Arkeologi Lembah Lenggong, Taman Negara
Kinabalu, Melaka dan Georgetown Bandar Sejarah Selat Melaka serta Gua Niah.
Ini bermakna Sarawak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia
yang memiliki dua tapak warisan - Taman Negara Mulu melambangkan alam semula
jadi, manakala Gua Niah melambangkan budaya.
Taman Negara Mulu adalah antara destinasi alam semula jadi
paling menakjubkan di dunia meliputi landskap gua, hutan hujan tropika, formasi
batu kapur yang unik serta ekosistem yang kaya dengan kepelbagaian flora dan
fauna.
Berkeluasan 86,000 hektar, ia adalah khazanah semula jadi yang
penting dan tidak ternilai di rantau Asia Tenggara serta dianggarkan menjadi
rumah 2,000 spesies tumbuhan; 450 pakis; 1,700 lumut; 4,000 kulat; 123 mamalia;
305 burung; 218 reptilia dan amfibia selain 48 ikan serta lebih 20,000 serangga
dan invertebrata.
Henry, 45, antara 200 jurupandu yang memiliki lesen berdaftar
dengan Jabatan Perhutanan Sarawak. Berpengalaman lebih 20 tahun sebagai
jurupandu Taman Negara Mulu, hutan dan pelancongan memberikan pendidikan
terbaik kepada lelaki berasal daripada etnik Penan ini, sekali gus mengiyakan
kenyataan bahawa etnik Penan dengan hutan belantara berpisah tiada.
Etnik Penan antara etnik minoriti di Sarawak, satu daripada
sub-etnik yang membentuk Kaum Orang Ulu yang mempunyai lebih kurang 27 etnik
bernaung di bawah sebagai sub-etnik.
Hutan hujan yang mengambil masa 60 juta tahun untuk terbentuk
Menyaksikan pemandangan Mulu yang menakjubkan serta
kepentingan biologinya, tidak menghairankan kawasan ini disenaraikan sebagai
Tapak Warisan Dunia.
Untuk melayakkan sesuatu kawasan mendapat status itu, ia mesti
memenuhi satu daripada empat kriteria.
Kawasan berkenaan perlu menjadi contoh cemerlang sejarah
geologi dunia (gua dan endapan gua); menjadi wakil terbaik bagi proses evolusi
yang berterusan iaitu program penyelidikan semasa; memiliki keindahan luar
biasa serta menyimpan habitat semula jadi penting untuk pemuliharaan in-situ
kepelbagaian biologi dan perlindungan spesies terancam (pelbagai habitat gua
dan hutan).
Mulu memenuhi semua kriteria berkenaan, sekali gus menepati
misi keramat UNESCO - "Warisan ialah peninggalan masa lalu yang dinikmati
hari ini dan yang diwariskan kepada generasi akan datang."
Taman Negara Mulu bukan hanya sesuai untuk individu yang
inginkan ketenangan jauh daripada hiruk pikuk hutan batu, bahkan juga amat
sesuai bagi mereka yang menggemari kegiatan lasak dengan kepelbagaian tumbuhan
dan hidupan liar.
Keunikan taman negara ini sudah pasti terletak pada bentuk
geografi sangat unik, didominasi empat gunung - Gunung Mulu atau Puncak Mulu,
Gunung Api, Gunung Buda dan Gunung Benarat.
Kawasan hutan hujan yang menakjubkan ini mengambil masa 60
juta tahun untuk terbentuk. Ia antara tapak semula jadi yang paling penting di
Asia Tenggara.
Pelbagai aktiviti boleh direncanakan, antaranya mendaki
Pinnacles iaitu formasi batu kapur yang tajam di Gunung Api, selain menjelajah
Puncak Mulu dan menerokai ratusan gua termasuk yang memerlukan kepakaran serta
panduan profesional daripada individu terlatih.
Bagi mereka yang mahu merasai pengalaman menikmati pemandangan
hutan dari ketinggian 30 hingga 35 meter, Laluan Kanopi Mulu adalah jawapannya.
Laluan yang dulunya sepanjang 480 meter, kini hanya 460 meter masih lagi
dianggap laluan atau jambatan pokok terpanjang di dunia.
Dibina pada 2014, jambatan itu memiliki tujuh hentian atau
platform dengan setiap platform mampu menampung empat pengunjung, manakala
maksimum dua pengunjung dibenarkan melalui jambatan berkenaan pada satu-satu
masa.
Program 'Exploring Mulu Sarawak' yang turut disertai pengamal
media dari Indonesia dan Brunei membawa peserta menjelajah empat gua,
menelusuri Sungai Melinau dengan perahu panjang, melihat penghasilan sumpitan
sambil membeli cenderamata di pasar kraf perkampungan etnik Penan di Kampung
Batu Bungan dan pastinya menikmati panorama aras tinggi di Laluan Kanopi Mulu.
Bersama Henry yang memiliki lesen penerokaan gua, Puncak Mulu,
Pinnacles dan trekking hutan, peluang empat hari menikmati keindahan taman
negara di Pulau Borneo yang dianggap antara hotspot biodiversiti dunia
memberikan pengalaman menakjubkan.
Sekurang-kurangnya separuh daripada spesies tumbuhan, haiwan
dan kulat yang dikenali di Borneo ditemui di Mulu, kawasan hutan hujan
khatulistiwa yang luas dan menakjubkan dengan kepelbagaian flora dan fauna yang
luar biasa.
Keterujaan penulis bermula sebaik menjejakkan kaki di Lapangan
Terbang Mulu selepas menempuh perjalanan dengan pesawat hampir dua jam dari
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Damai, sunyi, tenang - suasana yang dirasai sebaik keluar dari
pesawat MASwings sebelum dibawa mendaftar masuk ke Mulu Marriot Resort and Spa,
resort dengan hampir 70 peratus pekerjanya dalam kalangan penduduk tempatan.
Siapa sangka, ada air tangan 'import' yang memenuhi cita rasa
dan selera mereka yang menginap di resort serba mendamaikan itu. Ternyata kari
ayam yang penulis nikmati bersama roti canai merupakan sentuhan Chef Rodzi
Mustafa, 55, anak kelahiran Gelugor, Pulau Pinang yang juga pakar menyediakan
juadah Sarawak, hasil 34 tahun 'bersilat di dapur'.
Seperti mana ketelitian Chef Rodzi menyediakan juadah di Mulu
Marriot Resort and Spa, begitu juga Mulu yang amat menitikberatkan aspek
kebersihan. Kemudahan awam terutama trek dan tandas yang bersih dan teratur di
Taman Negara Mulu mencetuskan kekaguman.
Jika bandar raya Kuching berada pada kedudukan ke-14 bandar
terbersih di dunia, menurut laporan portal Suara Sarawak pada awal tahun ini,
apa kurangnya Mulu.
Penerokaan kami di Taman Negara Mulu bermula di Gua Lang dan
Gua Rusa, lokasi bersebelahan. Untuk tiba di pintu masuk gua, kami perlu
melalui trek sejauh 3.8 kilometer, struktur dibina daripada kayu pokok belian
dengan lantainya daripada bahan komposit.
Pokok belian adalah spesies kayu keras, diumpamakan seperti
besi, mampu bertahan ratusan tahun. Kali terakhir kayu yang membentuk trek
bermula dari Pejabat Taman Negara itu ditukar pada 2004.
Mengambil sempena nama penduduk tempatan, Lang Belarek yang
menjumpai gua ini pada 1977, Gua Lang disenaraikan antara gua tercantik dengan
pembentukan pelbagai formasi stalaktit dan stalagmit.
Ia gua yang paling kecil dalam senarai empat gua yang kami
lawati, namun tetap tidak kalah dengan struktur stalaktit dan stalagmit yang
mengagumkan termasuk dengan formasi struktur seperti obor-obor.
Rasa takjub berterusan dengan penerokaan Gua Rusa, ruang
laluan gua terbesar di dunia, memberikan pengalaman tidak terduga yang
menawarkan suasana dramatik dan indah kerana keluasan pintu masuknya. Ruang
utama, yang sebahagiannya diterangi cahaya matahari, berkeluasan 174 meter
lebar dan 122 meter tinggi.
Gua ini menempatkan lebih tiga juta kelawar daripada
sekurang-kurangnya 12 spesies, tertinggi pernah direkodkan menghuni satu gua
dengan jangka hayat mamalia ini antara 13 hingga 30 tahun.
Gua yang dinamakan penduduk Penan dan Berawan berikutan
menjadi lokasi teduhan rusa menawarkan pelbagai arca semula jadi terbentuk
jutaan tahun lalu.
Laluan menghala ke dalam gua ini berliku-liku mengikut kontur
semula jadi lantai gua. Meskipun laluannya diterangi lampu, jangan lupa
kepentingan membawa lampu suluh untuk memeriksa lantai gua yang dilitupi guano
atau najis kelawar dan serangga. Pesanan penulis - wajib bawa pelitup muka.
Profil bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-16, Abraham
Lincoln yang terbentuk daripada proses hakisan tiga batu besar memberi ilusi
seperti wajah manusia, akhirnya membentuk identiti Gua Rusa.
Sedikit ralat apabila penulis tidak berpeluang menikmati
jutaan kelawar terbang keluar dari gua mencari makanan pada sebelah petang
kerana hujan lebat. Kami sudah dimaklumkan lebih awal kemungkinan peluang
melihat kelawar terbang bebas membentuk pelbagai formasi adalah tipis susulan
cuaca tidak menentu mutakhir ini.
Seawal pagi, penulis dibawa menelusuri Sungai Melinau menaiki
perahu panjang untuk meneroka Gua Angin dan Gua Air Jernih yang disenaraikan
sebagai gua terpanjang di Asia Tenggara.
Kali ini, penerokaan sedikit mencabar apabila perlu melepasi
ratusan anak tangga yang mencanak untuk tiba di pintu masuk gua. Namun keringat
kami berbaloi apabila kedua-dua gua khususnya Gua Air Jernih menawarkan suasana
menakjubkan dengan aliran anak sungai yang deras dan jernih di dalamnya selain
titisan air dari bumbung gua.
Pengalaman di Gua Air Jernih sedikit sebanyak mengubati rasa
kecewa gagal melihat formasi kelawar di langit. Penulis mengimpikan eksplorasi
kedua untuk meneroka lebih banyak gua, menyusuri lebih jauh denai dan trek di
Taman Negara Mulu yang menjanjikan pengalaman baharu bersama teman baharu.
Bukan hanya flora dan fauna, Sarawak secara umumnya juga kaya
dengan kepelbagaian etnik dan budaya menjadikan ia sebuah negeri yang unik,
sekali gus menjadi kekuatan utama Sarawak dalam menarik pengunjung ke negeri
itu.
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, STB mengambil langkah
dan strategi lebih berani serta agresif dalam memasarkan negeri itu di
peringkat antarabangsa dengan menyasarkan kehadiran lima juta pelancong tahun
depan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.