KOTA BHARU: Seramai 100 pelancong dari selatan Thailand
mengunjungi acara 'Midnight Sales' (Jualan Tengah Malam) di Kelantan sempena
kempen Malaysia Year End Sale (MYES) 2024.
Kedatangan mereka selama dua hari satu malam sejak semalam itu
adalah melalui jualan pakej yang dibangunkan oleh MATTA Kelantan Chapter
sempena kempen berkenaan.
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Mohd Azizul Arif
Yahya, berkata secara keseluruhan, tujuh program 'Midnight Sales' diadakan di
seluruh negara dengan dua daripadanya berlangsung di Kelantan dan Terengganu.
"Antara matlamat penganjurannya ialah menggalakkan
pelancong antarabangsa, terutama dari negara bersempadan dengan Malaysia,
supaya mengambil peluang ini bukan saja untuk berbelanja tetapi juga bermalam
di negara ini.
"Inisiatif ini memfokus kepada pelancong dari Singapura
dan Thailand yang diharap memanjangkan tempoh keberadaan mereka di negara ini,
termasuk bermalam di hotel.
"Acara di pusat beli-belah mampu menjadi alasan mereka
yang datang dari jauh untuk tinggal lebih lama di Kelantan, sekali gus
menyumbang kepada ekonomi tempatan," katanya kepada pemberita selepas
pelancaran 'Midnight Sales' sempena kempen MYES di sebuah pasar raya, di sini,
malam tadi.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa
Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamaruddin Md
Nor.
Mengulas lanjut, Mohd Azizul berkata, tempoh 15 November 2024
hingga 1 Januari 2025 diwartakan untuk penganjuran jualan akhir tahun, dan
Tourism Malaysia dengan kolaborasi lebih 60 pemain industri telah melancarkan
kempen MYES di seluruh negara.
Beliau berkata, Aeon Mall Kota Bharu, Noor Arfa Craft Complex
dan KTCC Mall menjadi rakan strategik Tourism Malaysia dalam memperkenal,
mempromosi serta mengadakan jualan hujung tahun sempena kempen MYES untuk
Pantai Timur.
"Pelbagai tawaran potongan harga dan sesi cabutan bertuah
dengan aneka hadiah menarik disediakan selama tempoh 48 hari kempen ini
berlangsung.
"Untuk 2025, Tourism Malaysia bercadang memperluaskan acara ini ke lebih banyak pusat beli-belah di seluruh negeri di Pantai Timur, dalam usaha menjadikan jualan tengah malam sebagai salah satu acara tahunan pelancongan yang ditunggu-tunggu," katanya.
-berita harian online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.