Tuesday, 26 March 2024

Pelancong tempatan belanja RM84.9 bilion tahun lalu

 

Tahun 2023 merekodkan seramai 210.9 juta pelawat domestik -NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

PUTRAJAYA: Perbelanjaan pelancongan domestik meningkat 32.5 peratus kepada RM84.9 bilion pada 2023, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata secara keseluruhannya, prestasi pelancongan domestik Malaysia bagi tahun 2023 merekodkan 210.9 juta pelawat, meningkat 22.9 peratus berbanding setahun sebelumnya.

"Walau bagaimanapun, kedua-dua statistik ini masih di bawah paras prapandemik pada 2019, dengan jumlah pelawat dan perbelanjaan pelancongan domestik masing-masing 11.8 peratus dan 17.7 peratus lebih rendah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi suku keempat 2023, pelancongan domestik di Malaysia merekodkan 54.3 juta pelawat, melonjak 16.1 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Sementara itu, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pelawat domestik meningkat 1.6 peratus.

Bagi perbelanjaan pelancongan domestik, ia mencatatkan RM23.8 bilion, menandakan peningkatan 29.5 peratus tahun ke tahun dan kenaikan 18.5 peratus suku tahun ke suku tahun.

Mengulas lanjut mengenai prestasi berkaitan industri pelancongan pada suku keempat 2023, Mohd Uzir berkata indeks hasil taman tema meningkat 49.2 peratus tahun ke tahun, diikuti ketibaan di lapangan terbang domestik (1.7 peratus), trafik lebuh raya (10.9 peratus) dan jualan runcit bahan api (3.4 peratus).

Sementara itu, katanya indeks hasil penginapan juga meningkat dengan merekodkan 12.5 peratus.

"Kadar penghunian hotel lima bintang meningkat 2.1 peratus, diikuti oleh hotel empat bintang (0.7 peratus) dan hotel tiga bintang (14.8 peratus).

"Kadar penghunian mengikut lokasi di bukit dan bandar masing-masing meningkat 2.2 peratus dan 2.6 peratus, berbanding suku tahun yang sama tahun lalu," katanya.

-Berita Harian.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.